Sharmine mahu jadi contoh kepada masyarakat Orang Asli

Sharmine Silong (dua dari kanan) bersama Ishamuddin (dua dari kiri) selepas selesai pendaftaran di KKJU pada Selasa.
Sharmine Silong (dua dari kanan) bersama Ishamuddin (dua dari kiri) selepas selesai pendaftaran di KKJU pada Selasa.
A
A
A

JELEBU - Mahu menjadi contoh kepada masyarakat Orang Asli dan mengubah nasib keluarga mendorong Sharmine Silong, 18, menyambung pengajiannya di Kolej Komuniti Jelebu (KKJU) di sini.

Menariknya, Sharmine merupakan satu-satunya anak Orang Asli di daerah ini yang berjaya melanjutkan pengajian di KKJU menerusi Program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia Parlimen Jelebu baru-baru ini.

Sharmine berkata, dia memilih untuk melanjutkan pengajian dalam program Sijil Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan.

"Saya sememangnya meminati bidang berkaitan makanan dan program pengajian yang ditawarkan di KKJU menarik minat saya untuk terus mendaftar.

"Saya berharap usaha ini dapat mengubah nasib saya sekeluarga sekali gus memberi contoh kepada masyarakat Orang Asli selain mampu berbangga dengan pencapaian ini," katanya yang merupakan anak penoreh getah.

Sharmine antara 131 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berjaya menyambung pengajian di KKJU dan hadir pada hari pendaftaran yang berlangsung pada Selasa.

Sementara itu, menurut seorang pelajar lain yang juga menyertai kursus sama dengan Sharmine, Siti Hasya Halim, 18, yakin akan kemahiran yang ditawarkan oleh kolej komuniti setaraf dengan institusi pendidikan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang lain.

"Kebolehpasaran graduan kemahiran ini agak tinggi dan saya mahu membuktikan memilih kemahiran berbanding akademik juga boleh berjaya," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah KKJU, Ishamuddin Ishak berkata, pihaknya turut menggalakkan pelajar lepasan SPM untuk mengambil peluang melanjutkan pengajian dalam bidang TVET seperti yang ditawarkan di KKJU.

"Setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum berhak untuk mendapatkan peluang melanjutkan pengajian dan KKJU sentiasa bersedia menawarkan kursus-kursus berkaitan sama ada secara sepenuh masa atau kursus pendek.

"Justeru,kemasukan Sharmine ke KKJU diharap dapat menjadi titik tolak permulaan agar lebih ramai lagi lepasan SPM dalam kalangan masyarakat Orang Asli memilih bidang TVET untuk melanjutkan pengajian khususnya di KKJU," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!