Dua pemandu lori ditahan seleweng diesel bersubsidi
NIBONG TEBAL - Dua pemandu lori ditahan selepas dipercayai melakukan pemindahan minyak diesel bersubsidi secara haram Taman Sintar, Nibong Tebal di sini, pada Selasa.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Pulau Pinang, A Mogan berkata, serbuan jam 7 pagi itu dilakukan hasil risikan dijalankan anggotanya sejak seminggu lalu terhadap kegiatan penyelewengan minyak diesel.
Menurutnya, ketika serbuan kedua-dua suspek sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel bersubsidi dari lori bounded ke tangki lori tanker.
"Dalam serbuan itu kita menemui sebuah lori tanker jenis Hino yang mempunyai tangki berkapasiti 17,000 liter serta sebuah lori bonded tujuh tan jenis Nissan (UD) Kuzer yang mempunyai enam tangki fiber berkapasiti 1,000 liter setiap satu yang telah diubah suai di dalam lori tersebut.
"Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 16,000 liter minyak diesel berada di dalam satu tangki di dalam lori tanker manakala lebih kurang 1,200 liter minyak diesel didapati di dalam enam tangki fiber yang berada di dalam lori bounded," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Rabu.
Mogan berkata, pihaknya merampas kedua-dua lori terbabit bersama enam unit tangki fiber, mesin motor pam dan dua unit hos paip yang melibatkan nilai rampasan RM148,800.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Jelasnya, bagi pertubuhan atau perbadanan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
"KPDNHEP ingin ingatkan mana-mana orang yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi akan diambil tindakan tegas serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang tidak mematuhi akta dan peruntukkan undang-undang yang telah ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!