100 tan ikan mati di sungai Poland
WARSAW - Anggota bomba Poland menemui 100 tan ikan mati dari Sungai Oder di negara itu pada Selasa.
"Kami tidak pernah menjalankan operasi ini di sungai sebelum ini," kata Monika Nowakowska-Drynda dari Pejabat Akhbar Bomba kebangsaan seperti dilaporkan AFP.
Dia mengesahkan bangkai ikan itu ditemui mati sejak Jumaat lalu.
Punca kematian tidak dapat dipastikan walaupun pegawai percaya ikan itu berkemungkinan telah diracun.
"Mungkin sejumlah besar sisa kimia telah dibuang ke dalam sungai walaupun tahu risiko dan akibatnya," kata Perdana Menteri Poland, Mateusz Morawiecki pada minggu lalu.
Namun, Menteri Iklim dan Alam Sekitar, Anna Moskwa berkata, tiada sampel yang diuji setakat ini menunjukkan kehadiran bahan toksik di sungai berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan juga sedang mengkaji kemungkinan kepekatan bahan pencemar dan kemasinan lebih tinggi akibat paras air lebih rendah selain suhu tinggi menjadi punca kejadian tersebut.
Hipotesis ketiga yang sedang diteliti ialah air sisa industri dengan kandungan klorin yang tinggi dialirkan ke dalam sungai, katanya.
Sampel air juga telah dihantar ke makmal di Republik Czech, Belanda dan Britain dengan harapan dapat mengetahui puncanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!