Cukup masa buat persiapan: Nafuzi

Nafuzi Zain. - Foto media sosial
Nafuzi Zain. - Foto media sosial
A
A
A

TERENGGANU FC (TFC) mempunyai masa mencukupi untuk menyediakan skuad yang mantap bagi memberi tentangan sengit ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada 10 September ini.

Pengendalinya, Nafuzi Zain yang menyambut baik penetapan tarikh tersebut berkata, skuadnya akan menentang Melaka United FC pada 3 September dan para pemain mempunyai masa yang mencukupi untuk berehat dan berlatih sebelum mengharungi aksi final seminggu kemudian.

“Bagi saya tiada masalah pun sebab sebelum final kita pun ada aksi liga menentang Melaka United.

“Kita ada masa mencukupi untuk berehat dan seterusnya bersedia untuk ke final, jadi saya rasa tempoh masa yang diberikan adalah bersesuaian," katanya.

Berikutan penetapan tarikh final tersebut, aksi Liga Super antara TFC dan Penang FC yang dijadualkan pada 9 September bakal dipinda pada 14 September.

Perubahan tarikh turut berlaku melibatkan perlawanan tertangguh melibatkan TFC menentang Melaka United FC juga dipinda dari 2 September kepada 3 September.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Selasa mengesahkan, final Piala FA antara JDT dan TFC akan berlangsung pada 10 September depan di SNBJ bermula jam 9 malam.

Stadium Nasional Bukit Jalil bersedia menerima aksi final Piala FA 2022 yang menemukan TFC dan JDT pada 10 September depan. - Foto Facebook Malaysian Football League.
Stadium Nasional Bukit Jalil bersedia menerima aksi final Piala FA 2022 yang menemukan TFC dan JDT pada 10 September depan. - Foto Facebook Malaysian Football League.

Nafuzi memberitahu, keputusan tersebut pastinya menggembirakan penyokong Terengganu yang cukup teruja untuk hadir ke stadium yang mampu memuatkan sehingga 80,000 penonton itu.

Katanya, dengan tempoh masa yang ada ketika ini pastinya akan memberikan ruang mencukupi buat juara Piala FA 2011 itu melakukan segala persiapan untuk menentang JDT yang pastinya akan menjadi perlawanan cukup sengit.

“Satu berita yang baik sebab daripada pasukan dan pemain memang tertunggu-tunggu keputusan ini jadi sekarang kita sudah dapat tarikh dan kita akan bersedia menjelang tarikh itu.

Menurutnya, anak-anak buahnya enggan terganggu antara aksi Liga Super dan Piala FA kerana kedua-dua penting buat pasukan bagi memburu impian untuk meraih keputusan positif.

“Cuma sekarang kita boleh fokus dekat Liga Super terlebih dahulu, sebab kita pun ada beberapa aksi sebelum final Piala FA. Apabila sudah ada tarikh, para penyokong senang untuk menguruskan perjalanan mereka dan boleh buat apa-apa perancangan lebih awal.

“Pertemuan JDT dan TFC ini amat menarik dan keterujaan daripada penyokong memang dinantikan sebab kali terakhir kita ke final 11 tahun lepas. Jadi inilah suasana yang ditunggu-tunggu”, katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!