SUKIPT 2022: Andre idam emas hatrik
ATLET Universiti Putra Malaysia, Andre Anura Anuar menyasarkan untuk merangkul kemenangan treble dalam acara olahraga di temasya Sukan Universiti Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT 2022).
Atlet berusia 21 tahun itu berkata, dia optimis mampu untuk merangkul emas ketiga dalam acara lompat kijang memandangkan ia merupakan acara kegemarannya dalam sukan olahraga.
“Saya akan cuba untuk dapatkan emas (ketiga) dalam acara kegemaran saya iaitu lompat kijang. Sebab sebelum pergi ke temasya ini saya banyak berlatih untuk acara lompat kijang.
“Mungkin kalau ada rezeki, mungkin emas ketiga dalam olahraga mampu jadi milik saya esok,” katanya ketika ditemui pada Rabu.
Pada hari kedua acara olahraga di temasya SUKIPT 2022, atlet kelahiran Sabah itu mengungguli acara lompat jauh dengan lompatan sejauh 7.04m sekali gus melayakkannya meraih emas.
Perak acara lompat jauh dimenangi atlet dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Muhammad Aniq Aqil Md Ramli lompatan sejauh 6.88 m, manakala, wakil tuan rumah Muhammad Sunik Muslimin, melengkapkan podium di tempat ketiga, 6.82m.
Andre Anura sebelum itu turut berjaya membantu UPM meraih emas acara 4x100m lelaki semalam,
Selain acara lompat jauh, UPM turut berjaya menambah emas koleksi emas mereka menerusi acara 10,000 meter (m) jalan kaki, lontar peluru lelaki.
Bagi acara 10,000m jalan kaki, Muhammad Aliff Mubarak Ahmad berjaya menamatkan perlumbaan dalam tempoh 57 minit, 24 saat sekali gus memastikan pingat emas berada dalam genggamannya.
Pingat perak menjadi milik atlet tuan rumah, Muhammad Akmal Azlan yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 58 minit, 35 saat. Manakala, Yap Ewin dari Asia Pacific University (APU) meraih gangsa dengan catatan masa satu jam.
Untuk acara lontar peluru lelaki, Kamal Farhan A. Rahman yang juga atlet negara di Sukan Universiti Asean (AUG) tidak berdepan masalah untuk menidakkan cabaran peserta lain dalam acara terbabit.
Kamal Farhan berjaya mengesahkan kemenangannya selepas membuat lontaran sejauh 15.32m. Manakala, pingat perak diraih Muhammad Aidil Taufek dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), 13.81m dan gangsa menjadi milik Mirach Han dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), 12.95m.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!