Raducanu dapat tonik semangat
BINTANG tenis Britain, Emma Raducanu menyifatkan kemenangan ke atas juara Grand Slam 23 kali, Serena Williams pada pusingan awal Terbuka Cincinnati memberikan dia keyakinan sebelum mempertahankan kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat (AS).
Raducanu, yang tidak memenangi sebarang kejohanan sejak merangkul kejuaraan di Flushing Meadows tahun lalu atas kapasiti kelayakan ranking ke-150, mempamerkan aksi dominan dengan kemenangan 6-4, 6-0 dalam masa lebih sejam.
“Sejujurnya apabila diundi menentang Serena, ia merupakan satu hadiah buat saya. Peluang untuk bermain dengan Serena di sini mungkin salah satu peluang terakhir yang saya dapat untuk bermain dengannya.
“Anda perlu menghargai masa ini dan anda akan mempunyai ingatan ini sepanjang karier anda,” kata pemain berusia 19 tahun itu.
Williams sebelum ini berkata, dia akan meninggalkan sukan tenis dan mahu bersara selepas Terbuka AS.
Sementara itu, Raducanu mengakui menewaskan Williams memerlukan sesuatu yang istimewa kerana lawannya sentiasa mempunyai standard yang tinggi di peringkat ini.
“Bermain dengan Serena dan berjaya menang, saya jelas sangat berbangga dengan diri saya sendiri, dan ia memberikan keyakinan kepada saya.
“Setiap kemenangan itu membina keyakinan tanpa mengira tahap yang anda mainkan, setiap kemenangan adalah penting. Tetapi sudah tentu yang ini lebih-lebih lagi apabila anda bermain menentang pemain yang paling hebat.
"Biarpun begitu saya tidak cuba untuk menjadi terlalu tinggi atau terlalu rendah sekarang,” katanya.
Menanti Raducanu di pusingan seterusnya seterusnya seorang lagi pemenang Grand Slam dari Belarusia, Victoria Azarenka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!