FRGS diteruskan biarpun MyBrain15 ditangguh: Maszlee

Dr Maszlee Malik -Foto Bernama
Dr Maszlee Malik -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) masih meneruskan pemberian Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) biarpun tawaran baharu Program MyBrain 15 ditangguhkan buat masa ini.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata FGRS yang ditawarkan kepada semua universiti awam di Malaysia memperuntukkan dana RM275.35 juta bagi tahun ini.

"Dana untuk tahun 2018 adalah sejumlah RM200 juta. Pemberian geran penyelidikan ini dilihat mampu melahirkan pemegang Sarjana dan Kedoktoran (PhD) secara lebih bersasar, penyelia projek iaitu dalam kalangan profesor, pensyarah yang memantau pelajar seliaan mereka akan dipantau dengan lebih dekat melalui perkembangan projek penyelidikan.

"Ini seterusnya akan membantu melahirkan graduan dalam tempoh pengajian seperti yang ditetapkan dalam surat tawaran universiti,” katanya ​​​​​​pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas-Rantau Panjang) yang ingin tahu sama ada kementerian berhasrat mengembalikan peruntukan biasiswa MyBrain agar dapat melahirkan lebih ramai mahasiswa berkelulusan Sarjana dan PhD. MyBrain15 merupakan komitmen kerajaan dalam menyokong aspirasi rakyat melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi dan melengkapi diri dengan kelayakan yang dapat menambah kebolehan berdaya saing serta kebolehpasaran diri, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang kian mencabar.

Dr Maszlee berkata sesi temuduga tawaran baharu Program MyBrainSc akan bermula dari 8 April sehingga 30 April ini.

Katanya, KPM juga masih meneruskan pemberian biasiswa dan tajaan untuk 35 program tajaan biasiswa dalam perkhidmatan di bawah kementerian untuk melahirkan lebih ramai pemegang Sarjana dan PhD dari kalangan guru dan pensyarah.

Bagi menjawab soalan tambahan Siti Zailah mengenai jumlah pelajar yang mendapat manfaat menerusi pembiayaan kementerian, Dr Maszlee berkata di bawah program MyBrain15 iaitu Program MyMaster, jumlah pelajar yang menamatkan pengajian sehingga Mac 2019 ialah seramai 24,585 orang.

Artikel Berkaitan:

"Bagi peringkat PhD pula ialah seramai 2,158 orang dan peringkat MyPhD Industri pula ialah seramai 30 orang," tambahnya. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!