Keliling kampung naik motosikal jual barang

Ahmad Diah (kiri) melayan seorang pelanggan yang membeli barang jualannya di Kampung Pengkalan Batu.
Ahmad Diah (kiri) melayan seorang pelanggan yang membeli barang jualannya di Kampung Pengkalan Batu.
A
A
A

MELAKA - Biarpun keuntungan tidak banyak namun seorang peniaga barang basah dan kering dari Ulu Bertam di sini, berasa puas dapat membantu penduduk terutama warga emas di kawasan kampung membeli barangan dengan cara mudah.

Setiap hari Ahmad Diah Mahat, 48, akan menyusuri beberapa kampung dengan membawa lebih 40 jenis barang jualan seberat kira-kira 130 kilogram termasuk ayam, ikan dan sayur dengan menunggang motosikal Honda EX5 miliknya.

Dia yang mesra dipanggil Cik Mat dalam kalangan pelanggan berkata, meskipun cara jualan seperti ini tidak banyak digunakan pada zaman ini, berbanding pada era 80-an dan 90-an namun apa yang penting niatnya ikhlas mencari rezeki untuk keluarganya lebih-lebih lagi empat orang anak masih bersekolah.

Menurutnya, meskipun kaedah itu kini kurang mendapat sambutan, namun masih ada pelanggan yang memerlukan khidmatnya terutama warga emas dan mereka yang tidak mempunyai kenderaan ataupun kediaman jauh dari kedai mahupun pasar raya.

"Sejak 20 tahun lalu saya menjual barang basah dengan mengelilingi lebih 10 buah kampung dari Kampung Bertam Ulu sehingga ke Telok Mas.

"Biarpun penat... sehingga jam 6 petang baru saya pulang ke rumah, namun saya puas kerana apa saya lakukan bukan untuk keuntungan semata-mata tapi dapat membantu dan memudahkan urusan orang lain," katanya.

Ahmad Diah berniaga di beberapa kampung dengan menjual lebih 40 jenis barang makanan dengan menunggang motosikal.
Ahmad Diah berniaga di beberapa kampung dengan menjual lebih 40 jenis barang makanan dengan menunggang motosikal.

Tambahnya, ada juga pelanggan terpaksa berhutang terutama pada pertengahan bulan, namun kebanyakan mereka jujur dan akan membuat bayaran beberapa hari selepas itu.

Katanya, dia pernah juga menggunakan lori untuk menjual ikan dan sayur serta barang keperluan lain, bagaimanapun kos yang tinggi sukar untuk dia terus bertahan, tambahan pula jalan-jalan kampung yang kecil dan sempit.

"Jadi saya tukar semula menggunakan motosikal dan sehingga kini saya masih setia menggunakan motosikal sama untuk mencari rezeki," katanya yang pernah bekerja dalam bidang perkapalan.

Tambahnya, setiap hari dia akan mengeluarkan modal kira-kira RM1,200 untuk membeli barang jualan di pasar borong seperti udang, ikan, sotong, ayam dan pelbagai jenis sayur.

"Selagi diberikan kesihatan yang baik selagi itu saya akan terus berniaga menggunakan motosikal," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!