65 pendaki capai misi kibar Jalur Gemilang di puncak Kinabalu
KOTA KINABALU - Sebanyak 65 pendaki berjaya mencapai misi mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Malaysia selepas menerima bendera berkenaan daripada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahirudidin pada 31 Julai lepas.
Misi pendakian gunung setinggi 4,095 meter yang diadakan sempena Bulan Kebangsaan dan diketuai Taman-Taman Sabah (TTS) itu disempurnakan pada Isnin lepas serta mengambil masa hampir tujuh jam.
Penolong Pengarah Taman Kinabalu Justinus Guntabid berkata, pendakian bermula kira-kira 6.50 pagi itu turut membawa 133 bendera dan dipasang di sepanjang laluan pendakian, pondok perhentian, pelantar, pondok pemeriksaan, tangga batuan Kinabalu serta di kawasan rehat Panalaban.
"Bagaimanapun, hanya tiga bendera sahaja dipasang di puncak Gunung Kinabalu iaitu Jalur Gemilang, bendera Sabah dan bendera TTS atas faktor keselamatan,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.
Katanya, kumpulan 65 orang pendaki itu diketuai Renjer Taman, Sub Stesen Panalaban Gunung Kinabalu
Julaimin Kamin dan dianggotai Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MoSAR), malim gunung, porter, petugas Sutera Sanctuary Lodges, dan ahli Koperasi Kakitangan Taman Sabah (KOKTAS).
Menurutnya, semasa pendakian, para pendaki terpaksa berdepan cuaca agak sejuk, berangin serta berkabus semasa tiba di puncak gunung berkenaan kira-kira 1.50 petang.
Justinus berkata ketika perjalanan turun dari puncak Gunung Kinabalu, peserta juga turut 'bertemankan' hujan lebat berikutan perubahan cuaca yang mendadak. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!