Veteran tentera usia 93 tahun menang percutian atas kapal layar
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Veteran tentera, Nordin Sampul, 93, berjaya memenangi pakej percutian (pergi balik) di atas kapal layar mewah Resorts World Cruises selama tiga hari dua malam dari Klang ke Singapura.
Hadiah keseluruhan bernilai RM10,000 dimenangi warga emas itu menerusi penyertaan Finale Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian Edisi Ketiga sempena Sambutan Ulang Tahun Sinar Harian ke-16.
Anak jati kelahiran Kuala Selangor, Selangor yang berkerusi roda hadir menerima hadiah berkenaan ditemani anak perempuannya, Halimatun Saadiah Nordin, 53.
Nordin menyifatkan kejayaannya memenangi penyertaan tersebut sebagai hadiah paling manis dalam hidupnya.
“Selama 93 tahun hidup, ini kali pertama dapat merasai peluang menaiki kapal layar mewah.
“Pak cik rasa sangat bersyukur dan terima kasih Sinar Harian kerana memberi peluang ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sesi Penyerahan Hadiah Misteri di Lobi di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.
Halimatun Saadiah berkata, ketika staf Sinar Harian menghubunginya untuk memaklumkan bapanya memenangi pakej percutian tersebut, dia amat terkejut selain pada awalnya merasai ia merupakan panggilan dari ‘scammer’.
“Saya takut kena tipu dengan 'scammer', jadi saya pergi beli surat khabar dan tengok memang betul nama ayah tersenarai sebagai pemenang.
“Jadi saya tanya ayah sama ada dia mahu pergi naik ‘cruise’ tiga hari dua malam. Ayah terus kata nak pergi dan dia pun ajak saya sekali teman naik 'cruise' tersebut.
“Saya memang bersyukur dan memang rezeki ayah sebab dia memang suka hantar peraduan di mana-mana akhbar sejak dia berusia 40 tahun. Alhamdulillah, tahun ini rezeki dia menang pakej percutian naik kapal layar mewah ke Singapura,” ujarnya lagi.
Sementara itu, kegembiraan turut dikongsi ibu kepada pemenang peraduan, Kamilah Miskiran, 56, apabila anaknya Fatin Nabila Johari, 25, dari Batu Arang, Selangor memenangi pakej percutian mewah itu.
“Anak saya sedang kuarantin, jadi saya wakil untuk terima hadiah anak saya pada hari ini. Sebenarnya saya tak tahu Fatin Nabilah ada hantar peraduan.
“Dia ada tanya pada saya, sama ada saya nak naik kapal layar mewah. Saya beritahu pada anak saya yang mana saya tidak mampu nak beli tiket sebab kos mahal.
“Selepas itu dia beri kejutan pada saya dan kata dia menang pakej percutian naik kapal layar Resorts World Cruises selama tiga hari dua malam lalu ajak saya menemaninya. Memang saya terkejut dan syukur sangat-sangat,” katanya dengan nada terharu.
Bagi Nor Famieza Che Dan, 33, yang berasal dari Batu Kurau, Perak turut membawa ibunya untuk pergi merasai pengalaman menaiki kapal layar mewah dari Klang ke Singapura.
“Ibu saya memang pembaca setia Sinar Harian dan setiap kali ada keluar peraduan, dia akan beritahu pada saya untuk sertai peraduan tersebut. Ibu saya sangat menyokong segala usaha saya dari proses menghantar peraduan dan sebagainya.
“Sejak dari 2018 saya sudah hantar banyak kali peraduan namun rezeki tidak menyebelahi. Tetapi tahun ini memang rezeki saya memenangi pakej percutian berniali RM10,000.
“Alhamdulillah... saya rasa sangat teruja untuk menaiki kapal layar ini bersama insan tersayang dan ini hadiah terindah buat ibu saya,” katanya.
*media[1877463]**Pada majlis tersebut, Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin telah menyampaikan pakej percutian kepada tiga pemenang iaitu Nordin Fatin Nabila (diwakili ibu) dan Nor Famieza.
Dua lagi pemenang pakej tersebut ialah Rustarmizi Long, 38, berasal dari Seberang Prai Utara, Pulau Pinang dan Sharifah Noni Sayed Nordin, 52, yang berasal dari Sungai Siput, Perak namun mereka tidak dapat hadir atas sebab-sebab tidak dapat dielakkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!