Gergasi Asia bakal gegar Nilai

Abu Samah
Abu Samah
A
A
A

[DIKEMAS KINI] KEHADIRAN dua gergasi Asia – Jepun dan Korea Selatan dijangka menjelmakan persaingan bertaraf dunia pada Kejohanan Lumba Basikal BMX Asia 2022 (BMX ACC 2022) yang bakal berlangsung selama dua hari di Arena BMX Nasional di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan bermula Sabtu ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, penampilan barisan pelumba Jepun dan Korea Selatan akan membarakan persaingan kali ini yang turut dibarisi dua wakil Asia Tenggara iaitu Thailand dan Indonesia.

“Kehadiran pelumba-pelumba dari Jepun dan Korea Selatan sudah pasti menghadirkan persaingan sangat kompetitif. Pelumba daripada kedua-dua negara ini sudah pasti mahu membolot semua mata ke-layakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Perancis.

“Seperti yang kita ketahui, Jepun dan Korea Selatan memiliki ramai pelumba terbaik Asia. Jadi, sudah tentu kehadiran mereka menjadi tumpuan berdasarkan reputasi hebat para pelumba dari kedua-dua negara itu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Bagaimanapun, Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) percaya barisan pelumba Thailand dan Indonesia masih mampu mencipta kejutan yang boleh menggugat dominasi Jepun serta Korea Selatan.

“Thailand muncul negara pertama mengesahkan penyertaan pada ACC BMX 2022. Saya difahamkan Thailand telah merancang persiapan yang sangat rapi sejak dua bulan lalu. Begitu juga Indonesia.

“Negara jiran kita ini sangat memandang serius ACC BMX 2022,” ujarnya.

Pada masa sama, Abu Samah optimis barisan pelumba Malaysia yang mula berlatih di Arena BMX Nasional sejak dua bulan lalu turut memiliki kelebihan untuk melakar kemenangan sensasi di gelanggang sendiri.

“Pelumba Malaysia telah menunjukkan peningkatan yang sangat sensasi sejak kebelakangan ini. Sekalipun tidak berpeluang untuk beraksi di Sukan SEA 2021 di Vietnam yang lalu, namun mereka telah menunjukkan peningkatan ketara.

“Sekarang mereka berlumba di halaman sendiri. Kehadiran peminat tempatan pasti menyemarakkan semangat mereka untuk melakukan kejutan, sekali gus meraih mata kelayakan Sukan Olimpik 2024 Paris,” jelasnya.

Dalam pada itu, Abu Samah berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Helaz Bike Shop atas penganjuran ke-johanan kali ini.

“Sumbangan dan pengiktirafan Perdana Menteri kepada ACC BMX 2022 membuktikan kerajaan sangat memandang serius penganjuran bertaraf benua. Perdana Menteri pasti mahukan ACC BMX 2022 berjalan lancar tanpa sebarang masalah,” jelasnya.

Selain Malaysia, Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia, tiga lagi negara yang turut mengambil bahagian pada kejohanan bertaraf kali ini ialah Hong Kong, Singapura serta India.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!