Pasangan kembar Orang Asli genggam segulung ijazah
SHAH ALAM - Pasangan kembar anak Orang Asli kaum Semai berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Sosial Sejarah dan Peradaban di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Amelia Ahmad dan Amelina Ahmad yang berusia 25 tahun menghadiahkan kejayaan tersebut kepada keluarga mereka.
Menurut Amelia, membiasakan diri dengan rakan-rakan dan persekitaran baharu ketika mula memasuki Pusat Asasi UIAM merupakan antara cabaran yang perlu dilalui sepanjang pengajian.
“Tambahan pula, kami berdua tiada sebarang asas Bahasa Arab dan kami perlu mempelajarinya daripada peringkat awal, bagaimanapun setelah melanjutkan pengajian di peringkat ijazah kami sudah mula biasa dan selesa.
“Selain itu, kami juga saling bersaing secara positif untuk sama-sama meningkatkan prestasi dalam pelajaran dengan mengulangkaji bersama dan saling membantu antara satu sama lain.
"Saya dan kembar bersaing secara sihat yang dapat meningkatkan lagi kefahaman untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu,” katanya pada Rabu.
Sementara itu, Amelina berkata, kejayaan yang diperoleh adalah hadiah yang cukup bermakna buat seluruh ahli keluarga mereka yang banyak memberikan sokongan dan dorongan.
“Tanpa sokongan dan doa daripada mereka, sukar untuk kami meraih kejayaan dan urusan kami dipermudahkan,” ujarnya.
Jelasnya, ia juga membuktikan masyarakat Orang Asli juga mampu berjaya dalam bidang akademik dan bersaing ke peringkat yang lebih tinggi.
Dalam masa sama, bapa kepada pasangan kembar tersebut, Ahmad Uda, 62, turut berbangga dengan pencapaian kedua-dua anaknya dan berharap agar kejayaan mereka boleh menjadi pembakar semangat kepada yang lain.
"Kejayaan anak-anak saya ini mungkin boleh dijadikan sebagai pemangkin semangat buat anak-anak masyarakat Orang Asli yang lain supaya sama-sama berjaya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!