MPK nafi tidak ikut SOP tangkap anjing liar
KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) menafikan dakwaan beberapa pihak yang mengatakan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menangkap anjing liar hingga mencederakan haiwan berkenaan.
Timbalan Yang Dipertua MPK, Elya Marini Darmin berkata, penangkapan haiwan tersebut dibuat menggunakan SOP iaitu UKK 17(1) Undang-undang Kecil Perlesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (MPK) 2007.
Menurutnya, pemilik kedai yang didakwa membela anjing tersebut sebelum ini disoal oleh penguat kuasa MPK tentang status anjing tersebut serta dinasihatkan supaya melesenkan haiwan berkenaan secara sah supaya kebajikannya terjaga.
Namun katanya, pemilik kedai tersebut gagal membuktian bahawa anjing tersebut miliknya, menyebabkan haiwan tersebut dikategorikan sebagai binatang terbiar.
"Bila tiada pemilikan anjing, kita anggap ia haiwan terbiar dan kami berhak menangkapnya.
"Apabila proses penangkapan dibuat, berlaku provokasi daripada pekedai-pekedai dan orang awam di sekeliling, menyebabkan anjing tersebut panik serta agresif.
"Jadi berlaku sedikit kecederaan kepada anjing tersebut. Bagaimanapun, setelah ia dibawa ke pusat kurungan, anjing tersebut diberi rawatan dan berada dalam keadaan sihat."
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bengkel Jejak Warisan Bandaraya Klang di Dewan Hamzah MPK, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Elya Marini menasihatkan orang ramai yang ingin membela anjing untuk melesenkan haiwan tersebut dengan kos sebanyak RM10 seekor bagi tempoh setahun.
Ujarnya, mereka yang didapati gagal berbuat demikian jika didapati bersalah, boleh dikompaun sebanyak RM1,000 di bawah UKK 17(1) Undang-undang Kecil Perlesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (MPK) 2007.
"Hanya dua ekor anjing dibenarkan untuk dilesenkan bagi seorang individu, kecuali kepada penghuni rumah berstrata.
"Bukan itu sahaja, mulai tahun hadapan, pemilik haiwan juga boleh mohon dan perbaharui lesen anjing secara dalam talian," katanya.
Pada Selasa, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menggesa MPK agar mengkaji semula skop pelaksanaan operasi tangkapan haiwan liar di bandar berkenaan.
Charles berkata, ia susulan beberapa aduan diterima di media sosial mengenai operasi penangkapan anjing liar yang dianggap keterlaluan sehingga mendatangkan kecederaan kepada haiwan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!