Kolaborasi Perkeso, Teraju lindungi usahawan bumiputera

Mohamed Azman (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Md Silmi (dua dari kanan) di majlis menandatangani memorandum kolaborasi di Menara Perkeso pada Rabu. - Foto Facebook Perkeso
Mohamed Azman (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Md Silmi (dua dari kanan) di majlis menandatangani memorandum kolaborasi di Menara Perkeso pada Rabu. - Foto Facebook Perkeso
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), pada Rabu menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) untuk memastikan usahawan bumiputera dilindungi dengan jaringan keselamatan sosial yang komprehensif.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, wujud keperluan tinggi untuk memastikan perlindungan itu terutama selepas dua tahun kebelakangan tempoh yang mencabar seperti pandemik Covid-19.

Beliau berkata, penularan pandemik itu menyebabkan ramai usahawan yang terpaksa gulung tikar, bahkan ramai juga hilang punca pendapatan.

“Impak sosio-ekonomi akibat penularan pandemik membuka mata kita betapa perlindungan sosial di Malaysia masih berada di tahap yang minimum berbanding di negara maju lain.

“Oleh itu, sebagai peneraju dalam perlindungan sosial di negara ini, kita komited untuk memastikan lebih ramai Keluarga Malaysia termasuk golongan usahawan bumiputera di bawah Teraju dapat dilindungi dengan skim-skim perlindungan dan program di bawah Perkeso,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoC di Menara Perkeso, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Datuk Md Silmi Abd Rahman; Pengarah Penciptaan Kekayaan, Modal Insan dan Penyampaian Perkhidmatan Teraju, Mohd Najib Jaafar; Timbalan Ketua Eksekutif Perkeso, John Riba Marin serta Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi Perkeso, Ismail Abi Hashim.

Ujarnya lagi, termeterainya Moc itu akan menyaksikan Perkeso dan Teraju bekerjasama dalam beberapa bidang termasuk menerusi pelaksanaan Program ‘Social Synergy’.

“Program itu antara inisiatif murni kami bagi membantu menyelesaikan permasalahan sosio-ekonomi dan isu kebajikan rakyat Malaysia dengan bantuan dan kerjasama daripada pelbagai pihak.

“Sehingga kini, terdapat lebih 300 rakan strategik yang menyertai gagasan Social Synergy. Mereka terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, bukan kerajaan dan wakil rakyat.

“Alhamdulillah, hampir 13,000 kes membabitkan individu yang memerlukan bantuan telah disalurkan kepada agensi-agensi yang bernaung di bawah program ini di bawah platform perkongsian data Sistem MySynergy sejak tahun 2019,” katanya.

Justeru, Mohammed Azman percaya penyertaan Teraju sebagai rakan strategik dalam program itu akan memberikan nilai tambah serta memperkukuh lagi jaringan keselamatan sosial di negara ini.

“Kerjasama yang terjalin ini juga secara tidak langsung memberi pendedahan dan melatih anggota Teraju untuk juga menjadi seorang ‘social security practitioners’.

“Pengetahuan dan kebolehan yang diperoleh bukan sahaja merangkumi aspek perlindungan sosial, malah turut meliputi aspek kebajikan, pekerjaan, kewangan, perniagaan dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau menambah, Perkeso turut berhasrat untuk membantu mana-mana usahawan Bumiputera yang layak di bawah Teraju dengan program-program Perkeso di bawah Bajet 2022 seperti Program Jamin Kerja-Insentif Penggajian dan SPS Padanan Caruman.

“Bukan itu sahaja, kerjasama ini akan saling melengkapi kekuatan yang ada pada kedua-dua pihak.

“Ia merangkumi bidang-bidang lain seperti perkongsian data, potensi perluasan jaringan sosial Perkeso di bawah ketiga-tiga Akta yang ditadbir, intervensi pasaran buruh dan lain-lain perkara bermanfaat dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!