Kerajaan kaji perluas SKSSR kepada suri rumah ‘lelaki'

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan pada sidang media khas di Wisma HRD Corp hari ini. - Foto Bernama
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan pada sidang media khas di Wisma HRD Corp hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengkaji langkah untuk memperluas aspek perlindungan dalam pelaksanaan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) kepada suri rumah ‘lelaki,’ kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata, bagaimanapun, kerajaan perlu mengenal pasti jumlah sebenar lelaki di negara ini yang menjadi suri rumah.

"Perkara ini telahpun dibangkitkan dalam Jemaah Menteri. Kalau ikutkan budaya di Malaysia, majoriti lelaki adalah golongan bekerja,” katanya ketika sidang akhbar di Wisma Pembangunan Sumber Manusia Berhad di sini pada Rabu.

Saravanan berkata, sekiranya keperluan selepas kajian mendesak maka SKSSR seperti dalam Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 akan diperluas kepada kaum bapa.

Katanya, buat masa ini, SKSSR akan memberi keutamaan kepada golongan wanita yang bergelar suri rumah terlebih dahulu apabila ia berkuat kuasa pada 1 Disember 2022.

Rang undang-undang itu diluluskan di Dewan Negara pada 9 Ogos lepas bagi melaksanakan SKSSR membabitkan sejumlah 150,000 wanita yang berdaftar di bawah i-Suri dengan kerajaan membuat caruman untuk mereka.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, SKSSR adalah secara sukarela dan para suami tidak wajib mencarum untuk isteri masing-masing serta tiada tindakan akan diambil terhadap suami yang gagal berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau berkata, suami boleh didenda tidak melebihi RM10,000 jika mereka sudah mula membayar caruman tetapi gagal meneruskannya.

Katanya, suami terbabit boleh berbincang atau membuat permohonan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) jika berdepan masalah dalam pembayaran caruman agar tidak dikenakan denda.

Menyentuh mengenai pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) yang meningkatkan gaji siling daripada RM4,000 kepada RM5,000 sebulan untuk mencarum di bawah skim itu, Saravanan berkata, ia akan berkuat kuasa pada 1 September depan.

Beliau berkata, pindaan dalam Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2022 akan meningkatkan faedah yang diterima oleh pekerja selain menambah baik liputan keselamatan sosial.

"Caruman Perkeso tidak berubah sejak 1971. Maka dengan kenaikan caruman ini, pekerja juga dapat faedah yang lebih tinggi,” katanya.

Saravanan juga berkata, jumlah maksimum caruman oleh pekerja ialah RM7 dan minimum RM0.70.

Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2022 diluluskan oleh Dewan Negara pada 9 Ogos lepas melibatkan tiga pindaan terhadap peruntukan sedia ada termasuk Jadual Kedua Perenggan 2 (kadar caruman jenis pertama dan kedua) serta Jadual Ketiga Perenggan 8 (kadar faedah merangkumi Elaun Mencari Pekerjaan, kadar Elaun Bekerja Semula Awal, kadar Elaun Pendapatan Berkurangan, Elaun Latihan dan Fi Latihan). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!