Oriental Real Estate beraksi tanpa sebarang tekanan

Antara pemain yang menjadi taruhan Oriental Real Estate pada pusingan akhir Biz Link Properties Purple League Corporate hujung minggu ini.
Antara pemain yang menjadi taruhan Oriental Real Estate pada pusingan akhir Biz Link Properties Purple League Corporate hujung minggu ini.
A
A
A

EDISI kedua Biz Link Properties Purple League Corporate di Setapak Badminton Centre hujung minggu lalu memukau para peminat badminton apabila disajikan aksi menarik para pemain amatur, veteran dan profesional.

Tidak ramai menyangka golongan korporat dan pemain sosial dapat beraksi baik bersama bekas pemain kebangsaan apabila mereka mengetepikan pangkat dan gelaran untuk bertarung di gelanggang bagi merebut gelaran juara keseluruhan.

Pertandingan yang diperkenalkan Malaysia Purple League (MPL) bertujuan memupuk gaya hidup sihat selain menyediakan satu platform terbaik untuk mereka bermandi peluh melalui pertandingan badminton seperti ini.

Antara pasukan yang mencuri tumpuan pada dua minggu kejohanan berlangsung ialah Oriental Real Estate yang berjaya menjuarai Kumpulan B sekaligus mara secara automatik ke separuh akhir.

Syarikat yang mula beroperasi pada tahun 1988 itu cukup sinonim dengan perniagaan hartanah dan perumahan di Malaysia.

Oriental Real Estate mendominasi saingan Kumpulan B apabila menundukkan Senheng (12-7) sebelum membelasah Genting Malaysia (15-0).

Dengan peluang yang cerah untuk mara ke perlawanan akhir pada Ahad, pengurus pasukan, Nurshaliza Atika gembira persembahan pasukannya dan berharap mereka dapat mengekalkan momentum bagi memburu kejuaraan sulung.

“Ia merupakan persembahan yang terbaik dari pasukan. Kami beraksi tanpa sebarang tekanan dan ia terbukti berbaloi apabila kami muncul juara kumpulan.

“Meskipun beraksi buat kali pertama, kami berjaya mengatasi lawan yang lebih berpengalaman berbanding kami.

“Pasukan kami telah mula bermain badminton secara santai dan kami jadikan ia sebagai sesi latihan sejak dua bulan yang lalu dan saya berharap kita dapat selesaikan tugas separuh akhir pada Sabtu sekali gus mara ke final,” tambahnya.

Nurshaliza turut menyeru agar lebih banyak syarikat-syarikat korporat dapat menyertai kejohanan ini pada edisi yang akan datang.

“MPL telah melaksanakan tugas dengan baik dalam memupuk amalan gaya hidup sihat menerusi badminton. Kejohanan ini seharusnya mendapat lebih banyak sokongan syarikat-syarikat lain untuk beraksi membawa nama masing-masing.

“Ia juga adalah satu pengiktirafan buat kami kerana dapat membawa nama Oriental Real Estate sehingga peringkat ini," katanya.

Sementara itu, Top Glove pula muncul juara Kumpulan A selepas mengumpul 170 mata juga menempah slot separuh akhir menanti pemenang di antara Genting Malaysia dan Senheng.

Oriental Real Estate pula bakal berdepan pemenang perlawanan Dr KO dan Perbadanan Putrajaya pada Sabtu.

Pusingan akhir Biz Link Properties Purple League Corporate akan melabuhkan tirai hujung minggu ini dengan suku dan separuh akhir pada Sabtu sebelum perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga pada Ahad di Sports Arena Sentosa, Kuala Lumpur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!