Hina mahkamah: Lokman Adam diberi amaran terakhir

Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu memberi amaran terakhir kepada bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam selepas mendapati beliau bersalah menghina mahkamah kerana menyebut perkataan ‘bodoh’ semasa perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membabitkan Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah Sebelum mengeluarkan amaran itu, Hakim Datuk Collin Sequerah memberi peluang kepada Lokman, 49, untuk membersihkan penghinaan itu dengan memohon maaf tanpa sebarang syarat.

"Isu yang timbul adalah perkara serius. Lokman sudah memohon maaf kepada mahkamah. Ini amaran terakhir dan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap Lokman," katanya.

Terdahulu, Lokman membuat permohonan maaf itu dari kandang saksi kepada semua pihak yang berkenaan.

"Saya mohon maaf secara suci hati tanpa sebarang syarat kepada pihak Yang Arif, mahkamah dan semua pihak terlibat dan saya berjanji perkara ini tidak akan berulang lagi.

"Sekiranya saya masuk ke mahkamah pada bila-bila masa, saya akan ikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Lokman telah diberikan notis tunjuk sebab kerana menghina mahkamah oleh Sequerah berhubung tindakannya menghalang penjawat awam dan mendakwa sistem perundangan negara tidak adil semasa perbicaraan Ahmad Zahid pada 30 Jun lepas.

Diminta menjelaskan insiden itu pada prosiding hari ini, Lokman berkata ketika itu beliau mencatat nota berhubung perbicaraan Ahmad Zahid menggunakan aplikasi ‘Notes’ di telefon bimbitnya.

"Kemudian, seorang polis yang dikenali sebagai Lans Koperal Walter datang berjumpa saya dan meminta supaya saya tidak menggunakan telefon bimbit. Saya tunjuk kepada beliau dengan cara bahawa saya sedang mencatat nota,” katanya.

Tidak berpuas hati dengan teguran anggota polis itu, Lokman mengeluarkan perkataan ‘bodoh’ kerana tidak membenarkan beliau menggunakan telefon bimbitnya untuk mencatat nota sedangkan orang lain dibenarkan berbuat demikian menggunakan komputer riba.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah manakala peguam K. Balaguru dan S. Velan mewakili Lokman. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!