UMNO hormati keputusan penghakiman babitkan Najib

MOHAMAD
MOHAMAD
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO menghormati penghakiman yang menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memasukkan beberapa keterangan (bukti) bagi membuktikan wujud potensi berlakunya konflik kepentingan melibatkan hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dalam permohonan tersebut telah dihujahkan secara mendalam dan kukuh bahawa segala keterangan baharu yang hendak dimasukkan tersebut akan menunjukkan dengan jelas bahawa wujud pengetahuan dan atau penglibatan Mohd Nazlan dalam kes berkaitan SRC/1MDB, yang sekali gus menyebabkan kebebasan beliau sebagai hakim, berpotensi untuk tergugat.

“UMNO dan semua pihak di negara ini, mahukan kebenaran dan keadilan diangkat dengan selayaknya. Berbekalkan pendirian ini, UMNO berpandangan bahawa segala ruang dan peluang yang ada sepatutnya dipertimbangkan dan tidak diketepikan atas alasan teknikal," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya pada Rabu.

Mohamad turut mengaku kes besar seperti ini yang melibatkan pelbagai isu yang rumit, dokumen yang bertimbun-timbun, saksi yang ramai serta kewujudan ruang, potensi konflik kepentingan.

“Sekali pun UMNO bersetuju dan menghormati maksim undang-undang bahawa, 'justice delayed is justice denied', UMNO turut memandang berat penegasan maksim yang menyatakan bahawa 'justice hurried is justice buried',” katanya

Jelasnya, biar apa pun pandangan dan pendirian UMNO, keyakinan ahli terhadap institusi kehakiman negara tidak pernah pudar.

"Kami yakin dan percaya bahawa organ penting negara ini akan melunaskan tanggungjawabnya pada tanah air dengan sebaik-baiknya.

“Kami memanjangkan sokongan dan doa yang tidak putus-putus kepada Datuk Seri Najib, semoga segalanya dipermudah dan kebenaran serta keadilan akan tertegak,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!