‘Anak kami berhak untuk hidup aman dan selamat’

Sekumpulan kanak-kanak membawa potret mangsa yang terkorban dalam insiden serangan udara Israel pada 7 Ogos lalu.
Sekumpulan kanak-kanak membawa potret mangsa yang terkorban dalam insiden serangan udara Israel pada 7 Ogos lalu.
A
A
A

TEL AVIV - Pasukan Pertahanan Israel (IDF) akhirnya mengaku bertanggungjawab atas kematian lima nyawa kanak-kanak dan remaja Palestin ketika konflik tercetus pada 7 Ogos lalu.

Laporan siasatan terbaharu itu bagaimanapun bercanggah dengan kenyataan rejim Zionis yang menuding jari menyalahkan kumpulan Jihad Islam.

Ketika itu, beberapa pegawai kanan Israel menuduh kematian tersebut berpunca daripada bedilan roket kumpulan Jihad Islam.

Akhbar Haaretz pada Selasa melaporkan sumber pertahanan itu menyimpulkan kesemua mereka iaitu Jamil Najm al-Deen Nijm, 4; Jamil Ihab Nijm,13; Mohammad Nijm,17; Hamed Nijm, 17 dan Nazmi Abu Karsh, 15, terkorban dalam serangan udara yang dilancarkan di kawasan perkuburan Falluja bersebelahan kem pelarian Jabalia di utara Genting Gaza.

Sebahagian struktur yang musnah dibedil rejim Zionis di Rafah, selatan Genting Gaza.
Sebahagian struktur yang musnah dibedil rejim Zionis di Rafah, selatan Genting Gaza.

Beberapa jam selepas Haaretz menerbitkan laporan itu pada Selasa, keluarga salah seorang mangsa menggesa supaya Israel diheret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Penduduk setempat turut membawa plakad tertera ‘anak kami berhak untuk hidup secara aman dan selamat’ ketika menyertai protes bersama keluarga mangsa.

Bapa kepada empat mangsa yang terkorban, Ihab Nijm berkata, keluarganya amat yakin Israel bertanggungjawab penuh atas kematian itu berdasarkan keterangan beberapa saksi.

“Anak-anak kami tidak melakukan sebarang kesalahan dan sedang menziarahi pusara datuk mereka. Kami menggesa semua pihak untuk bersama-sama dengan kami menuntut keadilan di mahkamah antarabangsa,” ujarnya.

Menurutnya, pengakuan Israel bukanlah satu perkara baharu kepada penduduk Palestin.

“Sudah terang lagi bersuluh, anak-anak kami sememangnya menjadi korban misil yang dilancarkan Israel,” tegasnya lagi.

Sementara itu, salah seorang ibu mangsa memberitahu serangan tersebut berlaku kira-kira dua jam sebelum gencatan senjata dikuatkuasakan.

“Ia berlaku terlalu cepat. Kami terdengar bunyi seperti letupan bom. Saya berlari keluar untuk mendapatkan anak saya bersama tiga sepupunya, namun tubuh kesemua mereka sudah berkecai,” katanya dalam nada sedih.

Dalam kejadian berasingan sehari sebelum serangan ke atas kawasan perkuburan itu, Israel turut menyalahkan kumpulan Jihad Islam menyebabkan lapan termasuk kanak-kanak terkorban dalam serangan di kem pelarian Jabalia.

Rejim Zionis cuba berselindung apabila menyatakan kononnya ia tidak melancarkan sebarang serangan pada masa tersebut dan turut menyiarkan rakaman memaparkan beberapa roket dilancarkan dari Gaza.

Sekurang-kurangnya 49 termasuk 17 kanak-kanak dan remaja terkorban dalam serangan yang dilancarkan selama tiga hari di wilayah Gaza.

No Image Caption

Majlis Pelarian Norway mengesahkan tiga budak lelaki yang maut dalam serangan itu sedang menjalani terapi trauma sebelum serangan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis meragut nyawa mereka.

Tunggu dana bantuan

Kira-kira dua minggu selepas konflik itu reda, penduduk Palestin kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Mohammed Abu Hasira yang mengalami kerugian besar akibat serangan terbaharu Israel itu berkata, dia tidak boleh menunggu dana yang akan disalurkan pihak berkuasa tempatan untuk projek membina semula restoran miliknya yang musnah dibedil.

“Kami tidak boleh menutup operasi kerana pekerja saya bakal kehilangan sumber pendapatan dan ia pastinya memberi kesan kepada keluarga mereka,” katanya yang merupakan pemilik Restoran Abu Ali tersebut yang sering menjadi tumpuan pelanggan warga asing.

Bagaimanapun, tidak semua penduduk di Genting Gaza berkemampuan untuk membina semula rumah mereka tanpa dana bantuan pihak berkuasa.

Bapa kepada tujuh anak, Hassan Shamalakh, 69, memberitahu, dia terpaksa menumpang di rumah saudaranya buat sementara waktu.

“Kami sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang,” ujarnya sambil menambah dia sering kembali ke tapak kediamannya yang musnah dibedil rejim Zionis.

Data Kementerian Kerja Awam dan Perumahan di Gaza menunjukkan serangan Israel telah memusnahkan 22 unit rumah, manakala hampir 2,000 struktur separa musnah. - Agensi


INFO


Data dikumpulkan Defence for Children International menunjukkan sekurang-kurangnya 2,200 kanak-kanak menjadi korban kekejaman rejim Zionis dan pelampau Yahudi sejak Intifada Kedua bermula pada tahun 2000.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!