KUALA LUMPUR - Seorang penganggur memecah masuk rumah milik seorang pengurus hotel serta merogol dan merompaknya, dihukum penjara lapan tahun dengan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. Hakim Noradura Hamzah menjatuhkan hukuman itu ke atas Tay Cuee Siong, 33, selepas lelaki itu mengekalkan pengakuan bersalahnya hari ini. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan merogol, penjara lima tahun dan dua sebatan bagi kesalahan merompak dan penjara tiga tahun bagi pecah rumah serta memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap 3 Disember 2018. Sebelum menjatuhkan hukuman, Noradura berkata ketiga-tiga kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan sekiranya kesalahan itu tidak dibendung, ia akan menjejaskan ketenteraman awam. “Saya harap tertuduh insaf dan tidak mengulangi kesalahan-kesalahan ini lagi,” katanya. Mengikut pertuduhan pertama, Tay yang tidak bekerja didakwa merogol seorang wanita berusia 40 tahun di sebuah rumah di Batu 6 Jalan Puchong di sini pada 12.30 tengah hari, 28 November 2018 mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan. Dia juga dituduh merompak dua telefon bimbit dan seutas jam tangan milik mangsa sama di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan. Tertuduh turut didakwa melakukan pecah rumah dengan mencuri dua telefon bimbit dan dan jam tangan itu yang semuanya bernilai RM1,000 milik mangsa pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen serupa memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dikenakan denda. Bagi setiap kesalahan kali kedua atau seterusnya boleh juga dikenakan denda atau sebat. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam atas alasan kesalahan dilakukan tertuduh serius kerana tertuduh memecah masuk rumah serta merompak juga merogol mangsa dan mengambil barang-barang mangsa. Bagaimanapun, Tay yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi. “Saya mempunyai seorang anak ...anak di bawah jagaan saya. Saya dan isteri telah bercerai, saya insaf,” katanya. - Bernama