Empat keluarga hilang tempat tinggal
KAMPAR - Empat keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Taman New Wah Long di sini pada Khamis.
Dalam kejadian sekitar jam 2.10 pagi itu kebakaran membabitkan deretan lima rumah yang mana empat daripadanya berpenghuni manakala satu lagi kosong.
Kejadian itu turut menyebabkan kira-kira 12 mangsa gagal menyelamatkan harta benda.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar, Mohd Hisyam Zakariah berkata, seramai 28 pegawai dan anggota termasuk bantuan BBP Gopeng dan Tapah bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, dalam kebakaran itu kelima-lima rumah musnah 90 peratus.
"Setibanya di lokasi kejadian, api marak membakar kelima-lima rumah mangsa dan pasukan bertindak membuat kawalan agar api tidak merebak ke rumah bersebelahan.
"Api berjaya padam sepenuhnya kira-kira 40 minit kemudian dan anggota meneruskan operasi dengan membuat 'overhaul' bagi memadam sisa kebakaran sehingga tamat pada jam 5.03 pagi," katanya ketika dihubungi di sini.
Bagaimanapun, beliau berkata, kebakaran tidak mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa manakala punca kebakaran masih disiasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!