Hubungan antara rakyat jadikan Singapura-Malaysia istimewa
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Tinggi Singapura malam ini mengadakan majlis resepsi di sini sempena Hari Kebangsaan republik itu yang disambut setiap 9 Ogos, dengan majlis itu pertama kali diadakan dalam tempoh tiga tahun oleh kerana pandemik COVID-19.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon berkata, wabak tersebut bagaimanapun, telah mengukuhkan kesalingbergantungan Singapura dan Malaysia sepanjang tempoh yang mencabar itu.
Semasa mengenang semula halangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh dua negara jiran itu ketika wabak melanda, beliau berkata, hubungan Singapura dengan Malaysia terbina atas hubungan rakyat dengan rakyat yang kukuh.
"Orang ramai menjadikan hubungan antara kedua-dua negara kita sangat istimewa.
"Pada hari Kebangsaan ini, saya berharap hubungan kita akan terus berkembang dan lebih kukuh dengan sumbangan setiap generasi seterusnya antara rakyat Singapura dan Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis resepsi yang diadakan di Hotel Shangri-la.
Bertemakan "Kami Rindukan Anda”, majlis resepsi itu turut dihadiri Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang menjadi tetamu kehormat.
Lebih 800 tetamu menghadiri majlis itu termasuk rakyat Singapura dan para pegawai daripada kerajaan Malaysia, sektor korporat, kor diplomatik dan media.
Para tetamu juga dihiburkan dengan persembahan pemuzik Singapura Churen Li, seorang pemuzik yang mendapat pengiktirafan antarabangsa dan pernah membuat persembahan di festival-festival tempatan dan antarabangsa.
Selaras dengan tema itu, tempat itu turut dihiasi dengan ikon Singapura, termasuk ukiran ais dengan perkataan "Majulah”, yang merupakan lagu kebangsaan Singapura. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!