Komuniti Keluarga Malaysia semarak semangat cinta tanah air

Muhd Nor Aswadi (tiga dari kanan) bersama Dr Zaini (tujuh dari kiri) semasa Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di Peringkat Wisma Persekutuan di Kota Bharu pada Khamis.
Muhd Nor Aswadi (tiga dari kanan) bersama Dr Zaini (tujuh dari kiri) semasa Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di Peringkat Wisma Persekutuan di Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Penerangan Kelantan mengaktifkan 138 Komuniti Keluarga Malaysia (KKM) di negeri ini bagi mengimarahkan sambutan kemerdekaan negara kali ke-65.

Pengarahnya, Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata, KKM memainkan peranan dalam menyemarakkan lagi semangat cintakan tanah air.

"Hal ini secara tidak langsung menyahut saranan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) yang mahu kemerdekaan tahun ini disambut lebih meriah.

"Sudah dua tahun kita dilanda pandemik dan kali ini kemerdekaan disambut dalam suasana peralihan fasa endemik mengikut prosedur operasi standard (SOP)," katanya kepada pemberita semasa Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di Peringkat Wisma Persekutuan di sini pada Khamis.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Wisma Persekutuan merangkap Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Husin

Menurutnya, komuniti disarankan menyambut kemerdekaan dengan cara tersendiri sebagai menzahirkan rasa syukur di atas kebebasan yang dinikmati hasil perjuangan orang-orang terdahulu.

Dalam perkembangan lain, Muhd Nor Aswadi berkata, lebih 4,000 Jalur Gemilang pelbagai saiz telah diagihkan oleh Jabatan Penerangan Kelantan kepada semua agensi sama ada pusat, negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain untuk membangkitkan semangat kemerdekaan.

Beliau berkata, ia diagihkan melalui pelbagai aktiviti melibatkan jelajah ke tujuh jajahan di negeri ini.

"Usaha ini bertujuan memupuk semangat sayang dan cintakan tanah air dengan sepenuh jiwa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!