[VIDEO] Gajah masuk rumah ketika penduduk lena tidur

Penduduk di Kampung Satut, Pos Perwor, Sungai Siput hidup dalam ketakutan selepas sekumpulan gajah menceroboh kampung mereka sejak Ahad. Gambar kecil dari kiri: Nasir, Jamil, Tinah
Penduduk di Kampung Satut, Pos Perwor, Sungai Siput hidup dalam ketakutan selepas sekumpulan gajah menceroboh kampung mereka sejak Ahad. Gambar kecil dari kiri: Nasir, Jamil, Tinah
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Lebih 140 penduduk Orang Asli di Satut, Pos Perwor hidup dalam ketakutan apabila perkampungan mereka diceroboh gajah liar pada awal pagi Ahad.

Kejadian sekitar jam 1.30 pagi itu menyebabkan empat rumah rosak manakala tanaman pisang musnah akibat serangan gajah yang menceroboh untuk mencari makanan.

Tinjauan mendapati kemusnahan itu melibatkan struktur rumah terutama bahagian dapur dengan beberapa perkakas rosak selain makanan seperti beras bertaburan di tanah.

Penduduk, Tinah Pandak, 50, berkata, serangan itu merupakan kali pertama berlaku selepas perkampungan berkenaan dibuka 38 tahun lalu.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia tiga sekeluarga trauma dan berpindah ke surau untuk berlindung pada waktu malam.

Bangsal belakang rumah Tinah rebah akibat gajah yang memasuki rumahnya.
Bangsal belakang rumah Tinah rebah akibat gajah yang memasuki rumahnya.

"Masih teringat lagi ketika kejadian, gajah menolak bangsal belakang rumah dan pintu hingga roboh ketika kami sedang tidur.

"Tanpa menoleh belakang, saya terus bawa cucu dan menantu keluar rumah dan berlari menuju arah surau. Masa itu saya dapat dengar bunyi barangan pecah seperti digeledah," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Katanya, kejadian itu disifatkan amat menakutkan hinggakan salah seorang ahli keluarganya demam.

"Jiran beritahu anak gajah masuk dalam rumah untuk cari makanan manakala ibunya ada di luar. Habis makanan dan barangan dapur berselerakan hingga luar rumah.

"Pintu rumah tidak boleh baiki lagi dengan tingkap habis pecah. Saya guna papan dan zink untuk tutup tingkap," katanya.

Dinding salah sebuah rumah penduduk terkopak akibat diserang gajah di Satut, Pos Perwor.
Dinding salah sebuah rumah penduduk terkopak akibat diserang gajah di Satut, Pos Perwor.

Penduduk, Nasir Busu, 47, berkata, sebanyak dua kali kumpulan gajah itu 'melawat' kampung terbabit pada waktu malam.

"Kejadian pertama saya dan isteri sempat keluar dan lari ke rumah saudara di Kampung Talang bersebelahan untuk tumpang berteduh.

"Kejadian kedua berlaku pada Selasa, saya intai dari tingkap dan lihat gajah itu setinggi rumah saya, memang besar," katanya.

Pintu rumah penduduk musnah diketuk gajah yang memasuki kampung Orang asli, baru-baru ini.
Pintu rumah penduduk musnah diketuk gajah yang memasuki kampung Orang asli, baru-baru ini.

Tambahnya, meskipun tiada kerosakan berlaku, dia bersama penduduk lain membantu membuat kawalan serta memasang unggun api di hadapan rumah untuk menakutkan haiwan liar itu.

Sementara itu, Tok Batin, Jamil Itam berkata, penerokaan Hutan Simpan Piah dipercayai menjadi punca serangan gajah liar terbabit.

"Setahu kami ada penerokaan untuk pembalakan dan ladang durian berdekatan. Kampung kami pula berada di tengah menyebabkan gajah ini terkepung tidak boleh ke mana-mana.

"Kami ada tanam pisang sikit-sikit jadi gajah mungkin tumpang untuk makan. Kehadiran haiwan liar mestilah membuatkan penduduk rasa takut tambah ada serangan di Gerik baru-baru ini," katanya.

Jamil menunjukkan tanaman pisang yang diusahakan penduduk musnah akibat gajah liar.
Jamil menunjukkan tanaman pisang yang diusahakan penduduk musnah akibat gajah liar.

Tambahnya, kejadian itu telah dilaporkan kepada polis dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

"Kami berharap pihak berkaitan dapat bantu kami terutama membabitkan kerosakan yang dialami penduduk.

"Pendapatan penduduk turut terjejas kerana bimbang akan keselamatan untuk mencari hasil hutan seperti rotan, buluh dan sebagainya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!