‘Ada pihak terasa disebut pengkhianat, rasuah'
SHAH ALAM – Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari mengingatkan bahawa beliau membangkitkan isu kapal tempur pesisir (LCS) sejak 2019 tanpa menyebut nama mana-mana parti dan pemimpin.
Menurutnya, apa yang disebutkannya ialah siasatan yang adil, telus dan membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“Saya melihat poster ini, menuntut saya mohon maaf kerana memainkan sentimen kononnya wujud rasuah beberapa pemimpin UMNO.
“Saya tidak ada kaitan dengan pendedahan pihak-pihak lain selain dari PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) yang saya sebagai salah seorang anggotanya.
“Cuma barangkali pemilihan perkataan seperti pengkhianat, rasuah dan lain-lain itu menyebabkan ada pihak yang terasa, justeru saya mohon maaf,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu dalam satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Pemuda UMNO dilapor kesal dengan sikap Ahmad Fadhli yang didakwa memberi gambaran negatif terhadap Barisan Nasional (BN) dalam isu LCS.
Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, sekiranya ada pemimpin UMNO terlibat dalam penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah berkaitan projek tersebut, Ahmad Fadhli mesti membuktikannya dan memberitahu nama individu terbabit.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli menerusi hantarannya turut menyindir akan menukar perkataan lain yang diharapkan tidak ada mana-mana pihak terasa.
“Barangkali perkataan perompak, korup dan sebagainya tiada yang terasa. Atau jika ada senarai perkataan yang tidak boleh digunakan, mohon kepilkan,” sindirnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!