[VIDEO] PRU15: BN sasar menang 20 kerusi di Johor

Mohamad ( tengah) bersama Hasni (kiri) dan Ahmad (kanan) pada Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras BN Johor di Bangunan Perhubungan UMNO Johor pada Khamis.
Mohamad ( tengah) bersama Hasni (kiri) dan Ahmad (kanan) pada Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras BN Johor di Bangunan Perhubungan UMNO Johor pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Barisan Nasional (BN) meletakkan sasaran menang 20 daripada 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sasaran itu diletakkan bagi membolehkan Johor menjadi penyumbang utama kerusi bagi menubuhkan kerajaan pusat yang kukuh selepas PRU15 nanti.

"Kali ini BN hendak menang dan sasaran untuk Johor cukup tinggi. Saya mahu Johor berikan sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen.

"Oleh itu, BN Johor ada tugas berat untuk menang dan menyumbang sekurang-kurangnya 20 kerusi daripada 26 yang dipertandingkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras BN Johor di Bangunan Perhubungan UMNO Johor pada Khamis.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad yang juga Pengerusi UMNO Johor.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Pengarah Pilihan Raya UMNO berkata, kunjungannya ke Johor pada Khamis bertujuan melihat persediaan BN Johor bagi menghadapi PRU15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa.

"Berbeza pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, seluruh keluarga BN turun membantu tetapi PRU15 nanti, negeri dan Parlimen masing-masing perlu urus pilihan raya secara berasingan.

"Maka, kita perlu persiapan yang rapi dan perlu kuat serta mantap kerana tiada rakan-rakan dari seluruh negara akan membantu," ujarnya.

Dalam pada itu Mohamad berkata Johor merupakan negeri ke-sembilan yang mengadakan Mesyuarat Penyelarasan BN negeri serta pemukiman persiapan PRU15.

"Sebelum ini BN pada mesyuarat yang sama sudah diadakan di lapan negeri bermula Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Selangor Kelantan dan Terengganu.

"Hari ini dan esok di Johor, Ahad di Melaka, Perak (22 dan 23 Ogos) dan Pahang (29 dan 30 Ogos). Selepas itu BN akan ke Sabah. Di Sabah kita akan adakan mesyuarat yang sama mungkin makan masa lebih kerana kawasannya agak besar," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!