PRU15: MIC cadang bertanding di 12 kerusi Parlimen
MELAKA - MIC bercadang untuk bertanding di 12 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan perkara itu telah diserahkan kepada kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk dipertimbangkan.
Presidennya, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, cadangan berkenaan melibatkan bukan hanya kerusi tradisi MIC tetapi juga kawasan yang mempunyai peratusan tinggi untuk parti itu menang.
"Kami ingin peluang bertanding...bermakna ada juga kesempatan untuk (meraih) kemenangan. Pasal apa kita nak buang duit, buang masa semua kalau kita tidak boleh bertanding, tidak boleh menang.
"Takkan kita hanya bertempur di Parlimen kita (kerusi tradisi MIC)...bagaimana dengan Parlimen-Parlimen UMNO? Dalam urusan keluarga BN, saya pasti mereka akan mempertimbangkan hal ini," katanya kepada pemberita pada Persidangan Perwakilan MIC Negeri Melaka di sini lewat malam Rabu.
Turut hadir, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan dan Pengerusi MIC Melaka V.P. Shanmugam.
Vigneswaran berkata, sebagai contoh sebelum ini, MIC menyerahkan Cameron Highlands yang merupakan kerusi Parlimen tradisi parti berkenaan kepada UMNO pada Pilihan Raya Kecil 2019 untuk memastikan kemenangan BN.
Dalam pada itu, beliau berkata MIC masih membincangkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ingin ditandingi MIC dan senarai kerusi itu akan diserahkan kepada kepimpinan BN dalam masa terdekat.
Mengulas mengenai persediaan MIC bagi menghadapi PRU15, Vigneswaran berkata, jentera parti itu di peringkat cawangan dan negeri akan bergerak lebih agresif bagi memastikan kemenangan BN. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!