KAJANG - Seorang ejen hartanah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kajang hari ini atas 20 pertuduhan termasuk merogol, melakukan seks luar tabii terhadap adik ipar dan menyimpan bahan lucah aksi seks mereka sejak tiga tahun lalu. Tertuduh yang berusia 30 tahun itu mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan di hadapan hakim Mohd Kafli Che Ali. Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-9, bapa kepada tiga anak itu didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun di sebuah rumah di Bandar Tun Hussein Onn Cheras, antara 22 September 2016 hingga 31 Disember 2016. Lelaki itu turut didakwa lapan pertuduhan melakukan hubungan seks luar tabii terhadap mangsa. Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 24 September 2016 hingga 25 Februari 2017 dilokasi sama. Dia bakal menimang seorang lagi anak Jun ini juga berdepan tuduhan memiliki bahan lucah didalam telefon bimbitnya. Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria tidak menawarkan jaminan kerana khuatir tertuduh akan mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan. "Berdasarkan siasatan kakak kandung mangsa juga terlibat dalam kes ini, yang membawa kemungkinan tertuduh akan mengganggu mangsa dan saksi-saksi terlibat,"katanya. Peguam Mohd Fikah Sanusi yang mewakili tertuduh memohon jaminan diberikan dengan beberapa syarat ketat termasuk melapor diri sebanyak dua kali sebulan di balai polis berhampiran, menyerahkan pasport kepada mahkamah, serta larangan daripada mahkamah supaya tertuduh tidak mengganggu saksi. "Tertuduh tidak akan mengganggu mangsa kerana mangsa tidak lagi tinggal dirumahnya dan tertuduh tidak mempunyai pengetahuan keberadaan mangsa. Tertuduh juga tidak mengetahui pihak-pihak yang akan menjadi saksi,"katanya. Tambah peguam itu, tertuduh yang merupakan anak lelaki tunggal daripada tiga beradik itu juga perlu menanggung tiga anak dengan isterinya yang tidak bekerja serta kedua ibu bapanya. Bagaimanapun Siti Noor Hafizan membantah rayuan tersebut dan memaklumkan isteri tertuduh juga merupakan saksi dalam ini. Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 10 Mei untuk sebutan semula kes. ARTIKEL BERKAITAN: Hamil 8 minggu diperkosa abang ipar