Portal aduan buli dilancar

Tangkap layar Portal aduan buli yang dikendali oleh KPM.(Gambar dalam : Mohd Radzi) - Foto Bernama
Tangkap layar Portal aduan buli yang dikendali oleh KPM.(Gambar dalam : Mohd Radzi) - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Portal aduan buli dilancarkan pada Khamis bagi membolehkan aduan mengenai kes buli di sekolah dilaporkan secara terus kepada Kementerian Pendidikan (KPM), kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Portal aduan buli yang boleh diakses di laman sesawang https://www.moe.gov.my/aduanbuli itu menyediakan tiga saluran untuk orang awam, mangsa, ibu bapa atau penjaga melaporkan sebarang kejadian buli di sekolah, katanya.

Saluran tersebut adalah melalui talian khas aduan buli (03-88849352), e-mel (adubuli@moe.gov.my) atau aduan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) KPM yang tersedia di portal aduan itu.

"Talian khas tersebut boleh dihubungi 24 jam dan setiap aduan akan diambil tindakan segera oleh KPM,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas melancarkan portal aduan buli di sini pada Khamis.

Turut dilancarkan ialah program Sekolahku SEJAHTERA: Sepakat dan Selamat iaitu kolaborasi antara KPM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menangani isu buli dan salah laku melibatkan penggunaan barang terlarang iaitu dadah melibatkan pelajar sekolah.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, sebanyak 122 kes buli yang disabitkan kesalahan di seluruh negara direkodkan antara Januari dan Julai tahun ini.

"Apa yang penting berikan maklumat tepat untuk kami lakukan siasatan. Setiap aduan diterima akan direkod dan maklumat pengadu juga boleh dirahsiakan sekiranya mereka inginkan,” katanya yang meminta orang ramai memanfaatkan portal aduan buli itu.

Radzi dalam ucapannya pada majlis itu menegaskan yang KPM tidak akan berkompromi dalam isu buli dan pihak sekolah juga telah diarahkan untuk tidak menyembunyikan kes buli di tempat mereka.

"Kita tidak perlu berselindung dan tidak perlu sorokkan (kes buli)... sebab itu ketika saya masuk kementerian jika ada kes buli kami tidak pernah sorokkan.

"Kami maklumkan pada pihak sekolah jangan ada sesiapa yang cuba sorokkan kes buli ini kerana untuk selesaikan masalah, kita kena faham setakat mana perkara ini berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata beliau telah mengarahkan pihak polis untuk memberi penekanan terhadap kejadian buli yang berlaku di sekolah.

"Generasi baharu beranggapan buli itu perkara biasa dan sebab itu kita ingin buli ini dikurangkan. Saya setuju polis beri penekanan untuk turun ke sekolah untuk beri lebih banyak penerangan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!