Rancang perjalanan ke Sambutan Hari Kebangsaan 2022: Polis
KUALA LUMPUR - Orang ramai yang mahu menyaksikan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka di sini pada 31 Ogos nanti dinasihatkan merancang perjalanan mereka serta menggunakan pengangkutan awam berikutan penutupan beberapa jalan utama pada hari berkenaan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, lapan jalan utama di sekitar Dataran Merdeka akan ditutup dan dilencongkan bagi tujuan keselamatan dan kelancaran sambutan berkenaan.
"Kami (polis) menasihatkan orang ramai termasuk peserta yang terlibat dalam sambutan hari Kebangsaan untuk hadir awal. Kita juga menggalakkan orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam seperti tren LRT (Transit Aliran Ringan) dan Transit Aliran Massa (MRT).
"Bagi mereka yang tidak dapat menggunakan pengangkutan awam mereka perlu pastikan kenderaan mereka diletakkan di tempat yang sesuai dan tidak menghalang lalu lintas.
"Kita telah mengenal pasti beberapa lokasi untuk meletakkan kenderaan antaranya di Jalan Tanglin dan di Klinik Kesihatan Tanglin dan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi,” katanya ketika menjadi tetamu Program Selamat Pagi Malaysia di RTM1 pada Khamis.
Noor Dellhan berkata, seramai 1,100 anggota polis akan ditugaskan bagi menjaga keselamatan dan kelancaran Hari Kebangsaan 2022 yang dijangka bermula pada pukul 8 pagi sehingga 11 pagi yang melibatkan antaranya persembahan dan perarakan.
Menurutnya, tiga lapisan keselamatan akan dilakukan pada hari berkenaan melibatkan lapisan dalaman, iaitu di kawasan Dataran Merdeka, luaran dan di kawasan radius tiga kilometer dari Dataran Merdeka.
"Pihak polis turut akan menempatkan anggota bagi memantau 112 kamera litar tertutup yang terdapat di sekitar Dataran Merdeka bagi sebarang kemungkinan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!