Pemandu lori dicekup seleweng diesel

Lori terbabit sedang mengisi minyak diesel ke dalam tangki, namun pemeriksaan lanjut menunjukkan terdapat tangki tambahan yang disembunyikan di sebalik kayu palet.
Lori terbabit sedang mengisi minyak diesel ke dalam tangki, namun pemeriksaan lanjut menunjukkan terdapat tangki tambahan yang disembunyikan di sebalik kayu palet.
A
A
A

KULIM - Seorang pemandu lori ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan diesel subsidi membabitkan nilai sitaan berjumlah kira-kira RM30,573 dalam serbuan di Padang Serai, pada Rabu.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan dalam serbuan dilakukan jam 2.45 petang di sebuah stesen minyak di Taman Mahsuri di sini.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas lori muatan 16 tan yang sedang mengisi minyak diesel itu mendapati terdapat tangki tambahan berkapasiti 4,000 liter yang disembunyikan di sebalik kayu palet.

"Minyak yang diisi melalui tangki asal kenderaan akan disedut menggunakan pam ke dalam tangki tambahan tersebut," katanya.

Menurut Affendi, pemeriksaan lanjut mendapati pemandu gagal mengemukakan permit khas iaitu satu surat kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan KPDNHEP.

"Semasa serbuan, jumlah minyak yang sempat diisi lebih kurang 2,719 liter dengan nilai RM5,573.

"Kesemua minyak tersebut dirampas termasuk sebuah lori yang memuatkan tangki tambahan berisi minyak diesel dengan keseluruhan nilai sitaan dianggarkan RM30,573," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati bahan api tersebut dibeli daripada stesen minyak sekitar Seberang Perai Utara, Pulau Pinang dan Padang Serai, Kedah.

"Kita percaya minyak diesel tersebut akan dijual semula dengan harga industri kepada pembeli daripada sektor industri atau diseludup ke Thailand," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan dan dibaca bersama bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat boleh didenda tidak lebih RM2 juta.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!