PRU15: Hanya calon boleh menang pilihan BN
JOHOR BAHRU - Hanya calon boleh menang akan menjadi pilihan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tiada syarat khas sama ada perlu meletakkan calon muka baharu atau calon lama mahupun kerusi tradisi.
"Jika hendak menang, kita kena buat cara untuk menang. Soal pemilihan calon, jentera serta gerak kerja juga penting.
"Pemilihan calon yang akan dibuat nanti dilakukan mengikut pertimbangan di atas merit kerusi tersebut.
"Tiada syarat perlu wajah lama atau wajah baharu kerana ada juga pertimbangan di mana wajah lama juga boleh menang," katanya pada sidang akhbar Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras BN Johor di Ibu Pejabat UMNO Johor di sini pada Khamis.
Hadir sama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ditanya mengenai pembahagian kerusi, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO berkata, parti masih belum mengadakan perbincangan mengenai pembahagian kerusi bersama parti komponen.
"Jika hendak menang, kita kena buat cara untuk menang. Soal pemilihan calon, jentera serta gerak kerja juga penting."
Beliau berkata, perbincangan mengenai pembahagian kerusi akan dibuat selepas mengadakan kunjungan ke semua negeri bagi melihat kesiapsiagaan BN pada PRU15 untuk bekerja sebagai satu pasukan yang besar.
"Kita tidak mahu berlaku seperti dahulu apabila bergerak secara sendirian, kalau tempat UMNO, UMNO perlu uruskan tetapi kali ini kita semua perlu bergerak sebagai satu pasukan bersepadu.
"Semua parti komponen akan bersama-sama turun berkempen, walaupun tempat MCA dan MIC tak bertanding, jentera parti mereka perlu digerakkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!