SUKIPT 2022: UiTM, UPSI tempah slot final bola sepak

Antara aksi perlawanan UiTM menentang UPM di padang turf UKM pada Khamis.
Antara aksi perlawanan UiTM menentang UPM di padang turf UKM pada Khamis.
A
A
A

SKUAD Universiti Teknologi Mara (UiTM) melangkah ke final acara bola sepak temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT 2022) dengan bergaya selepas membelasah Universiti Putra Malaysia (UPM) 5-1 pada Khamis.

Pada aksi yang berlangsung di padang Turf Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), skuad kendalian Mohd Yazli Yahaya tidak menunggu lama apabila berjaya membolosi gawang UPM pada minit ke-10 menerusi jaringan Muhammad Zharif Nazhan Refli.

Tersentak dengan jaringan tersebut, UPM kembali memperkemaskan corak serangan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-19 melalui gol Muhammad Aiman Norhakim Nordin.

Bagaimanapun kedudukan itu tidak kekal lama apabila UiTM kembali memimpin perlawanan selang empat minit kemudian apabila Muhammad Faris Hafiz Azhar berjaya membolosi gawang UPM sekali gus menyaksikan kedudukan 2-1 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Muhammad Faris Azhar menjadi duri dalam daging buat UPM apabila sekali lagi merobek gawang UPM pada minit ke-51 sebelum melengkapkan hatriknya pada minit ke-74.

Muhammad Zharif menamatkan hari cemerlang UiTM apabila sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada perlawanan itu fasa minit ke-85.

“Alhamdulillah Syukur kepada ALLAH SWT dengan kemenangan ini. Sebenarnya kami tak menjangka boleh menang sebesar ini di pentas separuh akhir.

“Ini kerana pasukan UPM boleh dikatakan sebuah pasukan hebat. Namun kesilapan yang kerap dilakukan pasukan UPM, digunakan sebaiknya oleh pemain-pemain saya untuk mendapatkan jaringan.

“Secara keseluruhan saya sangat berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan pemain UiTM. Saya harap momentum ini dapat diteruskan pada aksi final nanti,” kata ketua jurulatih Mohd Yazli Yahaya.

Menanti UiTM di perlawanan akhir pada Sabtu ialah tuan rumah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berjaya menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) 2-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium UKM.

Dua gol UPSI dijaringkan oleh Mohd Alief Najmi Mohd Radzi pada minit ke 44 sebelum Muhammad Aiman Hakim Jaafar menggandakan kedudukan sembilan minit kemudian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!