[VIDEO] Mahkamah tolak permohonan peguam Najib tarik diri

Peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Hisyam Teh Poh Teik (tengah) bersama barisan peguam tiba di Mahkamah Persekutuan pada Khamis. - Foto Bernama
Peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Hisyam Teh Poh Teik (tengah) bersama barisan peguam tiba di Mahkamah Persekutuan pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis menolak permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik menarik diri daripada mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam prosiding rayuan akhir kes penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn Bhd yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai lima panel hakim berkata, peguam bela kekal dalam rekod mahkamah demi kepentingan keadilan.

“Kami dengan ini sebulat suara berpandangan bahawa berdasarkan fakta, peguam gagal memberikan alasan yang mencukupi untuk menarik diri, maka permohonan itu ditolak,” katanya.

Turut bersidang ialah empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Ketika membacakan keputusan panel hakim, Tengku Maimun berkata, peguam boleh menarik diri jika mempunyai alasan yang kukuh.

Beliau menegaskan bahawa mahkamah mempunyai kuasa untuk menolak permohonan itu supaya peguam bertindak dalam keadaan yang sepatutnya.

Ini kerana beliau berkata, penarikan diri peguam boleh mengganggu kecekapan dan fungsi mahkamah itu sendiri.

“Sudah menjadi tanggungjawab mahkamah untuk melindungi hak orang yang dituduh, berlandaskan sistem kehakiman.

“Di mana penarikan diri peguam mengganggu kecekapan dan fungsi mahkamah yang sepatutnya, mahkamah ada kuasa budi bicara untuk menolak permohonan berkenaan,” katanya.

Tengku Maimun: Adakah Tuan Haji (Hisyam) mahu mengemukakan apa-apa hujahan lanjutan?

Hisyam: Tidak.

Mahkamah kemudian mengarahkan prosiding rayuan akhir itu bermula dengan pasukan responden yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram memulakan hujahannya.

Ketika prosiding pagi Khamis, Hisyam selaku peguam utama Najib memohon kepada mahkamah untuk menarik diri daripada mewakili Najib.

Hisyam berkata, jika beliau tidak dapat menangguhkan pendengaran prosiding itu, beliau berharap untuk menarik diri daripada mengendalikan rayuan tersebut dan meninggalkan Najib.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!