'Kekurangan diri bukan halangan kejayaan'

Niki Amirul (dua dari kanan) menerima hadiah daripada Zuraidin.
Niki Amirul (dua dari kanan) menerima hadiah daripada Zuraidin.
A
A
A

PASIR MAS - Kekurangan diri bukan penghalang Niki Amirul Zimi, 20, menjadi pelajar cemerlang peringkat kebangsaan dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi kategori pelajar berkeperluan khas.

Niki Amirul mengalami masalah rabun dan albino selain kulit sensitif.

Kejayaan memperoleh 3A dan 2A- itu turut menjadi penebus kepada kegagalannya meneruskan pelajaran di Matrikulasi Kok Lanas dua tahun lalu.

Berkongsi kisah itu, anak kepada pasangan peniaga kedai runcit, Zimi Mamat, 60, dan Suemoh Dollah, 46, itu memberitahu, terpaksa memasuki tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja selepas mengalami alahan kulit yang serius ketika itu.

"Ahamdulillah, guru-guru di sini memang terbaik dan mereka memberi semangat sehingga saya berjaya mencapai keputusan ini.

"Saya mendapat A dalam Pengajian Am, Geografi dan Ekonomi manakala A- untuk Bahasa Melayu dan Sejarah dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.92," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima keputusan STPM di sekolah itu pada Khamis.

Anak sulung dua beradik itu juga memperuntukkan masa dua hingga tiga jam sehari untuk belajar sendiri selain bersama rakan untuk membincangkan tajuk yang tidak difahami.

"Paling penting, jangan lupa hubungan dengan ALLAH SWT, guru dan rakan-rakan selain tawakal selepas berusaha bersungguh-sungguh," katanya.

Tambah Niki Amirul, ketika menjawab soalan, dia menggunakan kertas soalan bersaiz besar dan lebih selesa tidak menggunakan kanta.

Niki Amirul kini sedang mengunggu keputusan temuduga Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan berharap dapat menyambung pelajaran di universiti itu.

Sementara itu, pelajar ketiga cemerlang di Malaysia, Nur Yasmin Hani Kasman, 20, pula menjadikan rakan senior yang berjaya melanjutkan pelajaran sebagai idola untuk memperoleh keputusan terbaik.

Yasmin Hani mendapat semua A bagi subjek Pengajian Am, Sejarah, Sastera, dan Bahasa Melayu dengan keputusan PNGK 4.0.

Nur Yasmin Hani
Nur Yasmin Hani

Anak kedua daripada empat beradik itu memilih untuk belajar pada waktu malam dalam tempoh beberapa jam dan berehat sebelum menyambung semula ulangkaji sehingga awal pagi.

"Guru banyak mendidik saya untuk mula membaca surah Yasin dan al-Waqiah ketika di tingkatan enam rendah. Alhamdulillah amalan itu antara yang membawa kejayaan saya hari ini," katanya.

Anak kepada pasangan guru bahasa Inggeris dan peniaga itu bercita-cita menjadi guru dan berharap dapat menyambung pengajian di USM.

Yasmin Hani antara 10 pelajar cemerlang yang mendapat 5A di SMK Panglima Raja, Pasir Mas dan mereka turut diraikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok, Zuraidin Abdullah yang menyampaikan hadiah wang tunai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!