Kemas: 1,000 peserta manfaat program kemahiran, keusahawanan

Ahmad Kamal Idris (tengah) melihat produk yang dipamerkan hasil kreativiti usahawan Kemas pada Khamis.
Ahmad Kamal Idris (tengah) melihat produk yang dipamerkan hasil kreativiti usahawan Kemas pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Terengganu menerima peruntukan sebanyak RM957,500 pada tahun ini bagi melaksanakan pelbagai program berbentuk pembangunan komuniti, kemahiran dan keusahawanan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kemas, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata, ia bakal memberi manfaat kepada 1,000 masyarakat luar bandar yang mengambil peluang mengikuti pelbagai program diadakan jabatan berkenaan.

Menurutnya, antara program kemahiran tersebut adalah Kursus Kemahiran Jangka Pendek (KKJP), Program Quick Win, sijil kemahiran Malaysia dan pembelian peralatan kelas serta alat bantu mengajar.

"Kemas sejak awal penubuhannya sudah memberi keutamaan kepada isu-isu berkaitan masyarakat luar bandar seiring dengan fungsi Kemas iaitu memperkasa sosio ekonomi masyarakat luar bandar yang harmoni, berjaya dan sejahtera.

"Peruntukan RM957,500 ini menunjukkan komitmen dan kesungguhan Kemas dalam membantu masyarakat luar bandar," katanya ketika berucap merasmikan Program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) Kemas Negeri Terengganu pada Khamis.

Hadir sama Pengarah Kemas Terengganu, Dr Faridah Mat.

Selain forum, beberapa aktiviti lain turut diadakan antaranya pameran dan jualan produk usahawan Kemas, demonstrasi masakan, persembahan fesyen kanak-kanak cilik bagi program Jarum Kemas, penyerahan peralatan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dan juga Anugerah Ikon Usahawan KEMAS Negeri Terengganu Tahun 2022.

Dalam pada itu, Ahmad Kamal Idris berkata, pelaksanaan Program WINS bertujuan memberi peluang kepada kumpulan sasar terutama kaum wanita bersama-sama usahawanita yang berjaya di setiap negeri untuk berkongsi pandangan dan pengalaman.

Katanya, pengisian dan aktiviti yang dijalankan pada program berkenaan juga dilihat dapat membantu peserta menonjolkan bakat serta kemahiran mereka.

"Sekiranya ada daripada peserta yang mempunyai kemahiran serta berpotensi untuk berjaya lebih jauh, kita sudi untuk membuka jalan dan menawarkan mengikuti kursus kemahiran atau keusahawanan lain yang dilaksanakan di Kemas,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!