'Faisal duri dalam daging Selangor FC'
PENGENDALI Selangor FC, Nidzam Jamil menyifatkan pemain lincah Terengganu FC (TFC), Faisal Halim sebagai duri dalam daging yang banyak menimbulkan masalah sehingga Red Giants tewas 0-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Rabu.
Nidzam akui Faisal memainkan peranannya dengan baik menyusun gerak serangan TFC sehingga mendatangkan masalah buat Selangor terutama di bahagian benteng pertahanan.
"Kita ada dua half yang berbeza, separuh masa pertama dan kedua. TFC amat beruntung memiliki pemain seperti Faisal yang berjaya melakukan banyak perkara berbeza.
"Penglibatan dia dalam dua jaringan TFC. Saya tak pasti mungkin kita (Selangor) terleka, tetapi pada masa kedua kita menyelesaikan beberapa perkara. Ubah taktikal dan sikap kita.
"Saya harapkan kita ada gol, tetapi ia tidak terjadi. Pada separuh masa kedua, ia bukan sahaja soal dominasi, tetapi berkaitan keputusan," katanya.
Kekalahan itu menyaksikan Nidzam tidak berjaya meraih mata dalam tugas pertamanya selaku jurulatih sementara Gergasi Merah.
Gol kemenangan TFC dihasikan pemain tengah, Habib Haroon pada minit ke-13 dan Manuel Ott turut mencatat nama selaku penjaring yang menyudahkan hantaran Faisal pada minit ke-39.
Kekalahan itu menjadi pengalaman berguna buat anak-anak buah Nidzam untuk bangkit dan lebih tajam di depan gawang lawan.
"Kita perlu sedar. Kita perlu ada naluri 'bunuh' yang lebih baik kerana mencipta peluang dan menjaringkan gol adalah dua perkara berbeza.
"Inilah bola sepak. Kita tahu Faisal akan beri banyak perangkap. Perangkap taktikal, secara individu dia sangat bagus.
"Quentin Cheng pun ada masalah untuk atasi kepantasan dia (Faisal), tetapi separuh masa kedua, saya rasa kita lebih baik dan kapten, Brendan Gan pun buat kerja dengan baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!