Hanya 60 calon STPM di Sabah peroleh PNGK 4.00

Hanya seramai 60 calon STPM 2021 di Sabah yang mendapat keputusan cemerlang dengan PNGK 4.00 bagi peperiksaan itu. - Gambar hiasan
Hanya seramai 60 calon STPM 2021 di Sabah yang mendapat keputusan cemerlang dengan PNGK 4.00 bagi peperiksaan itu. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Hanya seramai 60 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 di Sabah yang mendapat keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 bagi peperiksaan itu.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Tah Nia Jaman berkata, jumlah calon lulus adalah seramai 7,109 atau 98.60 peratus daripada 7,210 calon yang menduduki STPM pada 2021 berbanding seramai 7,332 atau 98.96 peratus pada 2020, sekali gus memperlihatkan penurunan sebanyak 0.36 peratus.

Katanya, bilangan calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2021 adalah sebanyak 7,539 calon dan ia menurun sebanyak 295 calon daripada 7,834 calon yang mendaftar STPM 2020.

"Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Sabah bagi STPM 2021 ialah 2.70, menurun sebanyak 0.01 mata berbanding 2020, iaitu 2.71.

"Bagaimanapun, pencapaian calon STPM 2021 secara keseluruhannya dianggap masih sama dengan pencapaian calon STPM 2020 kerana perbezaan yang sangat kecil, iaitu hanya sebanyak 0.01 mata dan perbezaan ini tidak menggambarkan siginifikan yang besar kepada pencapaian calon STPM 2021 berbanding dengan calon STPM 2020.

"Dari segi pencapaian individu seramai 60 calon pada 2021 berjaya memperoleh PNGK 4.00 berbanding seramai 72 orang pada 2020 dan ini menunjukkan penurunan seramai 12 calon," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau lagi, sebanyak 98 sekolah kerajaan iaitu melibatkan 104 pusat peperiksaan STPM 2021 di mana 20 pusat peperiksaan terletak di kawasan bandar dengan pencapaian lulus sebanyak 98.45 peratus.

"Sebanyak 84 sekolah di luar bandar pula mencapai lulus sebanyak 97.40 peratus dan ini menunjukkan jurang perbezaan lulus antara bandar dan luar bandar sangat kecil iaitu 1.05 peratus," katanya.

"Bagaimanapun, peratusan calon STPM 2021 yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran berbanding STPM 2020 didapati telah menurun sebanyak 0.5 peratus, iaitu daripada 72.45 peratus pada 2020 kepada 71.95 peratus pada tahun 2021," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!