Lelaki menyamar wakil syarikat kutip hasil jualan diberkas

Shafa'aton menunjukkan tangkap layar video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kegiatan suspek yang menyamar sebagai wakil kutipan wang syarikat sebelum berjaya ditangkap pada 11 Ogos lalu di Rawang, Selangor.
Shafa'aton menunjukkan tangkap layar video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kegiatan suspek yang menyamar sebagai wakil kutipan wang syarikat sebelum berjaya ditangkap pada 11 Ogos lalu di Rawang, Selangor.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Taktik seorang lelaki yang menyamar sebagai wakil syarikat sebelum melarikan hasil jualan premis sejak pertengahan tahun lalu akhirnya terbongkar selepas diberkas di Kota Emerald, Rawang, dekat sini, 11 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Turut dirampas telefon bimbit serta pakaian yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah.

Shafa'aton berkata, modus operandi suspek adalah menyamar sebagai wakil syarikat atau bank untuk mengambil wang hasil jualan dengan berpura-pura menghubungi pengurus melalui panggilan telefon di hadapan pekerja yang berada di hadapan kaunter bagi meyakinkan mangsa.

"Suspek yang aktif melakukan jenayah itu sekitar jam 4 hingga 7.30 petang dipercayai menjadikan premis kedai, farmasi dan klinik sebagai sasaran.

"Siasatan mendapati suspek dipercayai terbabit sekurang-kurangnya 40 kes jenayah termasuk jenayah komersial di Kuala Lumpur dan Selangor membabitkan kerugian berjumlah RM94,175," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pada Khamis.

Beliau berkata, semakan turut mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah termasuk dikehendaki bagi kes penipuan.

Tambah Shafa'aton, suspek disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Pada 18 Januari lalu, IPD Sungai Buloh menerima laporan daripada pekerja di sebuah kiosk milik syarikat telekomunikasi yang mengadu seorang lelaki datang ke premis itu mengaku sebagai juruteknik dan mahu mengutip wang jualan menyebabkan wanita berkenaan ragu-ragu untuk menyerahkan wang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!