Agensi kesihatan AS akui silap dalam kendalikan Covid-19

CDC merancang untuk membaik pulih sepenuhnya struktur dan operasinya berikutan kesilapan besar dalam mengendalikan respons pandemik Covid-19. - Foto CDC
CDC merancang untuk membaik pulih sepenuhnya struktur dan operasinya berikutan kesilapan besar dalam mengendalikan respons pandemik Covid-19. - Foto CDC
A
A
A

HOUSTON - Agensi kesihatan terkemuka Amerika pada Rabu mengumumkan merancang untuk membaik pulih sepenuhnya struktur dan operasinya berikutan kesilapan besar dalam mengendalikan respons pandemik Covid-19.

"Sejujurnya, kami bertanggungjawab untuk beberapa kesilapan awam yang agak dramatik... bermula dengan pengendalian ujian, kepada pengumpula data, hinggalah komunikasi," lapor Agensi Anadolu memetik Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, Rochelle Walensky dalam satu kenyataan.

"Selama 75 tahun, CDC dan kesihatan awam telah bersedia untuk Covid-19, dan pada saat penting itu, prestasi kami tidak memenuhi harapan orang ramai," katanya mengenai lebih 11,000 kakitangan agensi itu. "Saya mahu kita semua melakukan yang lebih baik, dan ia bermula dengan CDC sebagai penerajunya."

Jumlah kematian akibat wabak itu di AS mencecah lebih sejuta orang sejak Mac 2020.

CDC akan meneliti tindak balas Covid-19 ketika awal pandemik kerana respons yang lemah terhadap saringan dan pemantauan penyebaran virus yang cepat.

Semasa peringkat akhir wabak itu, agensi itu menghadapi kritikan kerana mengalih atau mengelirukan panduan mengenai pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial dan menetapkan tempoh pengasingan untuk orang yang diuji positif.

Walensky berkata, organisasi itu akan beralih daripada menumpukan kepada kajian akademik dan beralih ke arah mengutamakan tindak balas terhadap penyakit baru muncul seperti Covid-19 dan cacar monyet supaya agensi itu dapat memenuhi potensi sebenarnya.

Selain membuat rombakan, CDC juga akan mewujudkan majlis eksekutif baharu untuk melaksanakan perubahan yang meluas.

"Matlamat saya ialah budaya baharu yang berorientasikan tindakan kesihatan awam di CDC yang menekankan akauntabiliti, kerjasama, komunikasi dan ketepatan masa,” tambahnya Walensky. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!