Isteri syukur, lega suami selamat

Mohd Yazid (belakang kiri) bersama pemancing lain diselamatkan pasukan Stesen Udara Maritim Subang menggunakan pesawat pada Khamis.
Mohd Yazid (belakang kiri) bersama pemancing lain diselamatkan pasukan Stesen Udara Maritim Subang menggunakan pesawat pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Isteri kepada salah seorang pemancing yang terkandas berikutan cuaca buruk dan angin kencang di Pulau Batu Berantai di sini bersyukur selepas suami dan empat lagi yang lain terselamat dalam kejadian itu.

Nur Niyana Hazwani, 30, berkata, kejadian kira-kira jam 10 pagi itu berlaku sewaktu suaminya, Mohd Yazid Basir, 37, dan dua lagi rakannya dari Tanjong Karang sedang menunggu bot untuk keluar dari pulau berkenaan.

Menurutnya, kejadian itu hanya diketahui selepas suami menghubunginya pada jam 11.30 pagi Khamis dan menceritakan detik cemas berkenaan.

"Saya terkejut sebaik suami memberitahu terkandas akibat angin kencang dan ombak kuat, namun bersyukur apabila suami selamat.

"Jika melihat kepada video yang tular memang ngeri dan keadaan (pemancing) ketika itu bergelut apabila ombak membadai pulau dan disusuli angin kencang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Nur Niyana yang menetap di Blok C Sawah Sempadan berkata, suaminya keluar dari rumah untuk memancing di pulau itu pada jam 5 petang Rabu.

"Suami pergi memancing dengan dua lagi rakannya dan tidak sangka pula mereka diduga dengan ombak kuat.

"Saya berterima kasih kepada pasukan penyelamat yang cepat bertindak membantu menyelamatkan suami dan rakan lain daripada dihanyutkan ombak deras," katanya.

Adik kepada salah seorang pemancing, Muhammad Zamir Ramli, 29, pula berkata, kejadian itu dimaklumkan ibunya kira-kira jam 2 petang bahawa abangnya, Zamri, 39, terkandas bersama empat lagi pemancing di pulau terbabit.

Katanya, dia yang ketika itu berada di tempat kerja terus pulang ke rumah bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian.

"Alhamdulillah abang selamat, tapi saya masih terkejut melihat keadaan laut bergelora dan ombak kuat seperti dalam rakaman video tersebut.

"Saya juga selalu keluar memancing di Pulau Batu Berantai dan keadaan tidaklah seteruk itu, namun saya bersyukur semuanya dalam keadaan selamat," katanya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, lima pemancing melalui detik cemas apabila terkandas selama 15 jam berikutan cuaca buruk dan angin kencang di Pulau Batu Berantai di kedudukan 1.4 batu nautika Barat Laut Pantai Remis Jeram pada Khamis.

Kelima-lima mangsa iaitu Mohd Yazid Basir, 37, Zamri Romli, 39, Mohd Razwan Hussin, 48, berasal dari Tanjong Karang, manakala Hamidi Rohani, 70, dan Tohid Sangon, 65, dari Jeram.

Ketua Stesen Udara Maritim Subang, Kepten (M) Syed Islam Shahajam berkata, semua pemancing itu berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) pada jam 10.20 pagi Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!