NCIA berjaya tarik pelaburan RM17.25 bilion
PUTRAJAYA - Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berjaya menarik pelaburan sebanyak RM17.25 bilion yang menghasilkan 12,315 peluang pekerjaan baharu sejak Januari hingga 31 Julai tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaburan itu disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), mekanikal dan elektrikal (M&E) dan Peranti Perubatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Menurutnya, perkembangan positif itu termasuk pelaburan asing oleh Baladna Food Industries dari Qatar sebanyak RM2.1 bilion untuk membangunkan projek ladang tenusu bersepadu di Chuping, Perlis bagi menyokong agenda sekuriti makanan negara.
“Ia sekali gus membuktikan keyakinan pelabur swasta terhadap ekonomi dan ekosistem pembangunan bakat di wilayah ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Anggota Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) kali ke-29.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Sains, Teknologi & Inovasi dan Pengajian Tinggi Negeri Kedah, Datuk Wira Ku Abdul Rahman Ku Ismail.
Ismail Sabri berkata, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan memastikan bekalan air, elektrik dan jaringan komunikasi tersedia dalam usaha untuk meyakinkan lebih ramai pelabur ke kawasan NCER.
“NCIA bersama-sama kerajaan negeri memberi tumpuan untuk mengukuhkan lagi ekosistem bakat dan mewujudkan rantaian bekalan yang teguh bagi meningkatkan daya saing NCER dalam menangani sebarang jurang dalam ekosistem pasca-pandemik," katanya
Beliau berkata, bagi menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam program sosioekonomi strategik, NCIA sedang merangka pelbagai usaha yang inklusif termasuk penubuhan tabung Dana Pembangunan Modal Insan NCER.
“Tabung ini bagi merangsang penyertaan sektor swasta dalam program pembangunan modal insan mampan dan usahawan,” katanya.
Jelasnya, mesyuarat turut bersetuju supaya program bantuan kos sara hidup menggunakan kad tanpa tunai serta pembangunan kemahiran dan keusahawanan NCER diterapkan di bawah program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).
"Pelaksanaannya akan diperincikan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
“Mesyuarat hari ini juga bersetuju dengan cadangan NCIA untuk menganjurkan persidangan Pihak Berkuasa Koridor Wilayah untuk membincangkan dan menghuraikan amalan terbaik serta pencapaian.
“Peranan semua koridor ekonomi amat penting bagi membangun dan meningkatkan daya tahan ekonomi Keluarga Malaysia,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!