Mydin sambut ulang tahun ke-65
SELEPAS dua tahun tidak menyambutnya susulan penularan wabak Covid-19, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), syarikat pemborong dan peruncit ternama di negara ini menyambut ulang tahun ke-65 penubuhannya pada Khamis.
Menggunakan tema MYDIN 65 tahun 'Bersama Keluarga Malaysia', majlis sambutan kali ini disambut meriah dengan dihadiri pelbagai rakan strategik dan rakan niaga pasar raya berkenaan.
Seperti lazimnya, upacara memotong kek menjadi simbolik utama kepada majlis ulang tahun diadakan dan Mydin turut menawarkan promosi serta penjimatan berganda bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia.
Pelbagai aktiviti dan promosi menarik dirangka sepanjang kempen berlangsung sehingga 30 Oktober ini dan yang bakal menjadi tumpuan antaranya ialah peraduan bersama rakan-rakan strategik Mydin antaranya MyDebit, Boost dan banyak lagi yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM1 juta.
Ia termasuk pelancaran laman sesawang mydin.my dan Kad Kesetiaan Meriah Mydin berwajah baharu yang menjanjikan pelbagai diskaun menarik serta tawaran istimewa dengan rakan kerjasama Mydin.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, sepanjang 65 tahun penubuhan Mydin, banyak suka-duka dilalui, namun keluarga Mydin sentiasa menjadi tunjang kepada kejayaaan syarikat itu.
"Bangga untuk saya sebutkan, ketika dahulu bapa seorang menjaga kedai bersama saya serta adik- beradik yang lain, kini Mydin mempunyai tenaga kerja atau lebih selesa saya panggil 'Keluarga Mydin' seramai lebih 6,000 orang di seluruh negara.
"Sepanjang 65 tahun perjalanan ini pelbagai kisah gembira dan duka menjadi memori buat semua.
Tidak kiralah betapa gembiranya kami melihat cawangan baharu dibuka dan betapa sedihnya melihat ada cawangan yang terpaksa ditutup akibat tekanan ekonomi semasa.
"Musibah banjir, kebakaran, kecurian, kerugian sudah menjadi kelaziman dalam perniagaan namun atas keringat dan usaha semua tidak kiralah pangkat, jawatan dan di mana mereka berada, Keluarga Mydin yang menjadi tunjang kejayaan kami," katanya ketika berucap pada majlis sambutan yang diadakan di Mydin Seremban 2 di sini pada Khamis.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid dan Ahli Lembaga MYDIN.
Sementara itu Ameer berkata, Mydin kini mempunyai 62 cawangan seluruh negara termasuk cawangan terbesar di Tunjong, Kelantan yang baharu dibuka.
"Terima kasih kepada seluruh Keluarga Malaysia atas sokongan yang berterusan sehingga Mydin menjadi pilihan ramai untuk mendapatkan barangan keperluan.
"Penghargaan juga diberi kepada pihak kerajaan termasuk KPDNHEP yang sentiasa terbuka dan membantu pemain industri khususnya peniaga tempatan untuk terus berkembang maju dan mampan walaupun berdepan dengan krisis kenaikan harga global sekarang.
Katanya, sebagai memahami kesusahan dan cabaran yang dihadapi rakyat akibat kenaikan harga barangan yang berlaku secara global, Mydin menawarkan pelbagai barangan asas dengan harga amat berpatutan.
Jelasnya, sepanjang tempoh tiga bulan bermula pada Khamis, Mydin akan memberi diskaun hebat dan istimewa buat “Keluarga Malaysia”," katanya.
KPDNHEP sasar peningkatan jualan KBBM 2.5 peratus
Dalam pada itu, KPDNHEP menyasarkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus tahun ini menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) berbanding RM3.2 bilion tahun lepas.
Rosol berkata, dengan promosi berterusan KBBM, kementerian yakin ia dapat melonjakkan permintaan barangan tempatan di dalam pasaran.
"Tahun lalu KBBM mencapai nilai jualan sebanyak RM3.2 bilion dan dijangka pada tahun ini ia akan meningkat kepada 2.5 peratus.
"Justeru, harapan kita sasaran nilai jualan produk tempatan menerusi KBBM 2022 dapat dicapai dengan adanya pemain industri serta keadaan ekonomi negara yang semakin pulih," katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Mydin Ke-65 dan Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2022 di Mydin Seremban 2 pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Mydin, Datuk Murad Ali Mydin Mohamed dan Pengarah Esekutif Mydin, Datin Wira Dr Siti Hawa Mohd.
Mengulas lanjut, Rosol berkata, KBBM menjadi platform terbaik untuk kementerian menggalakkan pembelian produk keluaran tempatan selain menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan pengguna.
"Bagi membantu mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara, KPDNHEP mengambil langkah drastik memperkasakan kempen KBBM 2022 dan ia amat signifikan dalam mengimbangi cabaran serta tekanan ekonomi semasa yang dihadapi negara ketika ini.
"Kesudian Mydin bersama-sama membantu mempromosikan produk tempatan telah memberikan keyakinan kepada pengusaha untuk bersaing dengan lebih agresif dengan jenama gergasi luar kerana seperti sedia maklum, Mydin merupakan rangkaian pasar raya yang sangat dekat di hati Keluarga Malaysia dan di Mydin lah Keluarga Malaysia berbelanja," katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Rasol berkata, Program Jualan Keluarga Malaysia akan dijenamakan semula sebagai Program Jualan Murah Keluarga Malaysia bermula minggu ini dengan tawaran harga murah serendah 20 peratus untuk barang keperluan asas.
Sementara itu, Ameer berkata, pihaknya turut mencadangkan kepada kerajaan supaya memastikan setiap bantuan barangan keperluan asas yang diberikan kepada rakyat mengandungi produk-produk industri kecil dan sederhana (IKS) dalam usaha menyokong KBBM.
"Kalau boleh bantuan barang keperluan daripada kerajaan menggunakan produk IKS, kita ada teh, kopi dan bihun keluaran tempatan. Sebenarnya, produk IKS keluaran tempatan ini lebih kompetatif dan harganya murah berbanding produk jenama luar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!