Mekanik maut motosikal dirempuh trak pikap

Motosikal ditunggang mangsa remuk selepas terlibat kemalangan.
Motosikal ditunggang mangsa remuk selepas terlibat kemalangan.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang mekanik maut selepas tercampak sejauh kira-kira 20 meter apabila motosikal yang ditungganginya dilanggar sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux di persimpangan lampu isyarat Padang Layang di Jalan Salor-Pasir Mas di sini pada Khamis.

Dalam kejadian jam 1.25 petang itu, Mohamad Zulkifli Zakaria, 59, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komsioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Tendong menghala ke Kedai Mulong.

"Setiba di lokasi kejadian, mangsa berhenti di lampu isyarat yang sedang berwarna merah. Apabila lampu bertukar hijau mangsa meneruskan perjalanan menuju ke hadapan.

"Secara tiba-tiba datang sebuah trak pikap yang dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Mas lalu melepasi lampu isyarat berwarna merah dan kemudian melanggar motosikal tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, kesan pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa telah tercampak dari motosikalnya sejauh 20 meter ke bahu kiri jalan menghala ke Pasir Mas.

Katanya, bagaimanapun pemandu dan tiga penumpang trak pikap itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohd Rosdi berkata, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!