Kastam rampas minuman keras tanpa lesen bernilai RM3.4 juta
SEPANG - Sebanyak 28,231 liter minuman keras tanpa lesen bernilai RM3.4 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah dalam dua serbuan berasingan di Lembah Klang pada 21 Julai lepas.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah gudang di Batu Arang, Selangor yang disyaki melakukan pengilangan minuman keras tanpa lesen, dengan empat lelaki warga asing berusia antara 24 dan 37 tahun berjaya ditahan.
Beliau berkata dalam serbuan itu, pihaknya menyita minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai sebanyak 5,876 liter yang dianggarkan bernilai RM414,891 dengan duti terlibat sebanyak RM462,105,
"Turut disita peralatan memproses minuman keras seperti mesin memproses bahan mentah, tong berisi cecair disyaki alkohol, botol kosong, penutup botol, label minuman keras, kotak minuman keras dan setem cukai kastam disyaki palsu dianggarkan bernilai RM50,000,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Zazuli berkata, pada hari yang sama, JKDM melakukan satu lagi serbuan di sebuah gudang yang dijadikan tempat penyimpanan minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai di Puncak Alam, Selangor dan menyita 22,355 liter minuman keras bernilai RM1.01 juta dengan anggaran cukai terlibat sebanyak RM1.43 juta.
Beliau berkata, hasil risikan mendapati kedua-dua premis gudang terbabit dipercayai menjalankan aktiviti memproses minuman keras tanpa lesen melebihi enam bulan.
"Modus operandi kedua-dua kes terbabit adalah menjadikan gudang di kawasan perindustrian sebagai pusat memproses, mengilang dan menyimpan minuman keras sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.
Menurutnya, kedua-kedua kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976 dan Seksyen 5(1) Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!