Sukma: Pengguguran acara tidak dapat dielakkan
PENGGUGURAN acara pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 tidak dapat dielakkan kerana jumlah minimum enam negeri tidak dapat dipenuhi pada temasya sukan itu yang dijadual pada 16 hingga 24 September depan.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, perkara itu dapat dielakkan jika negeri-negeri yang telah melakukan pendaftaran awal tidak bertindak menarik diri pada saat akhir sebelum tarikh pendaftaran ditutup.
Beliau bagaimanapun berkata, Jawatankuasa Tertinggi Sukma dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah mengarahkan MSN bekerjasama dengan persatuan sukan kebangsaan bagi menganjurkan lebih banyak kejohanan kebangsaan demi memastikan semua atlet, termasuk yang tidak dapat beraksi di temasya sukan tersebut berpeluang bersaing dalam suasana pertandingan kompetitif.
"Isu ini sememangnya diberikan perhatian serius dengan Yang Berhormat Menteri juga mengarahkan saya mengadakan perbincangan bersama semua Pengarah Majlis Sukan Negeri bagi mencari penyelesaian terbaik yang tidak akan merugikan pembangunan bakat muda sukan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi memberi maklum balas terhadap beberapa kenyataan yang memberi gambaran seolah-olah terdapat usaha mengekang penyertaan menerusi pengenalan pelbagai syarat pertandingan pada Sukma kali ini.
Baru-baru ini, media melaporkan terdapat beberapa acara bagi sukan olahraga dan terjun digugurkan daripada Sukma kerana penyertaan negeri yang tidak menggalakkan.
Dalam pada itu, Ahmad Shapawi menjelaskan, Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang menggubal semua peraturan Sukan Malaysia adalah dianggotai semua negeri dengan menetapkan peraturan tetap mewajibkan setiap sukan dan acara perlu disertai oleh minimum lapan negeri.
"Jumlah minimum lapan negeri itu ditetapkan sejak edisi pertama Sukma pada 1986 bagi memastikan setiap negeri melaksanakan program pembangunan bakat secara meluas supaya jumlah atlet muda berbakat yang lebih besar dapat dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata, langkah menguatkuasakan jumlah minimum itu bukanlah sesuatu yang luar biasa dan menjadi amalan pertandingan sukan di peringkat antarabangsa, malah ada juga sukan menguatkuasakan peraturan had kelayakan sebelum sesuatu acara dapat dipertandingkan.
Sehubungan itu, beliau berkata, untuk edisi ke-20 ini, Jawatankuasa Tertinggi Sukma turut memberi pengecualian khas apabila menurunkan jumlah penyertaan minimum daripada lapan kepada hanya enam negeri yang bertujuan memastikan lebih banyak acara dan lebih ramai atlet dapat bertanding. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!