Derita sakit buah pinggang selepas makan mi segera setiap hari
LUMUT - Tabiat suka makan mi segera setiap hari menyebabkan seorang lelaki menderita penyakit buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.
Mohd Faisal Mustafa, 36, berkata, corak pemakanan tidak seimbang itu menyebabkan dia disahkan menghidap darah tinggi sekali gus menderita penyakit itu sejak tujuh tahun lalu.
"Pusat dialisis menjadi rumah kedua saya untuk mendapatkan rawatan. Keadaan saya yang tidak bekerja menyebabkan saya mengalami kesukaran pada awalnya.
"Saya bersyukur Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) membantu membiayai bil rawatan cucian darah saya ini," katanya.
Dia ditemui pada majlis perasmian Pusat Hemodialisis Waqaf Perak Ar-Ridzuan (WPAR) yang disempurnakan oleh Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Annuar Zaini di Kampung Dato Seri Kamarudin di Manjung di sini pada Khamis.
Mohd Faisal berkata, Pusat Hemodialisis WPAR yang beroperasi Disember tahun lalu memudahkan dia bersama kakaknya, Umi Kalsum, 53, mendapatkan rawatan dialisis lebih selesa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari berkata, lebih RM16 juta daripada dana zakat diperuntukkan setiap tahun bagi menampung perbelanjaan rawatan dialisis kepada 600 penerima bantuan.
"Sebanyak 12 mesin dialisis disediakan yang mampu menampung sehingga 36 pesakit sehari. Jumlah kos keseluruhan projek pembinaan pusat ini mencecah RM3.3 juta.
"Pembiayaan merangkumi kos rawatan cucian darah sebanyak 14 kali dan suntikan lapan kali dengan keseluruhan kos sebanyak RM2,860 sebulan bagi setiap pesakit," katanya.
Menurut beliau, penubuhan Pusat Hemodialisis WPAR dapat menampung keperluan dan permintaan sejajar dengan pertambahan bilangan pesakit terutama yang dibiayai MAIPk menerusi sumber zakat.
"Berdasarkan data, seramai 570 orang menerima bantuan membabitkan kos rawatan sebanyak RM16.4 juta pada tahun 2020 manakala 610 orang dicatatkan membabitkan kos RM16.9 juta pada tahun 2019.
"Waqaf Perak Ar-Ridzuan akan menjadi saluran bagi individu atau mana-mana organisasi untuk berwakaf. Ibadah wakaf ini sangat dituntut untuk saling membantu mengangkat martabat ummah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!