SUKIPT 2022: Hoe Yean, Yong Qi cemerlang
PERENANG negara, Khiew Hoe Yean mencipta sensasi apabila meraih empat emas pada hari pertama acara renang dipertandingkan di temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT 2022).
Pada saingan yang berlangsung di kolam renang kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pelajar Universiti UCSI itu bermula garang apabila memecahkan rekod kejohanan dalam acara 400 meter (m) individu medley dengan catatan masa 4:39.53 saat.
Momentum itu diteruskan Hoe Yan apabila mengungguli acara 200 meter gaya bebas, 200 meter kuak lentang selain membantu kuarter UCSI memenangi acara 4×200 meter sekaligus berjaya memperbaharui rekod kejohanan.
“Saya gembira dengan empat emas yang diraih ini. Ia satu permulaan baik pada penampilan pertama saya di SUKIPT.
“Saya harap boleh mengekalkan momentum kemenangan ini kerana esok dan lusa saya masih ada beberapa yang akan disertai. Saya mahu menyumbang lebih banyak emas buat UCSI,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Selain Hoe Yan, perenang dari Universiti Sunway, Ong Yong Qi turut cemerlang meraih dua emas di temasya SUKIPT 2022, apabila mengungguli acara 200m kuak lentang dan 200 m gaya bebas.
Lebih manis lagi, catatan masa 2:33.10 saat yang dilakukan Yong Qi dalam acara 200m kuak lentang itu berjaya memperbaharui rekod kejohanan sebelum ini.
“Saya berpuas hati dengan pencapaian dua emas ini. Walaupun baru sahaja pulang dari temasya AUG, tapi saya masih boleh kekalkan prestasi di temasya ini.
“Harap persembahan ini dapat diteruskan kerana saya sasar empat emas dari temasya ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!