ACC BMX 2022: Jepun laung amaran awal
SEBAGAI salah satu gergasi Asia, Jepun melaungkan amaran mahu mendominasi Kejohanan Lumba Basikal Asia BMX 2022 (ACC BMX 2022) di Arena BMX Nasional di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan bermula Sabtu ini.
Jurulatih Jepun, Masa Sampei berkata, dia menurunkan sekurang-kurangnya empat nama besar dalam dunia BMX Asia iaitu Ryo Shimada, Kanami Tanno, Jui Yabuta, Hyoga Kiuchi dan Neneka Nishimura.
“Seperti yang anda semua tahu Ryo Shimada menduduki tempat ke-37 pada Kejohanan Perlumbaan BMX Sedunia 2022 di Nantes Julai lalu.
“Ryo sangat bersemangat untuk muncul juara Asia kategori elit dan Bawah 23 Tahun (B-23) sekali gus menambah kutipan mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
“Begitu juga dengan Tanno dan Yabuta. Tanno menduduki tempat keempat bagi kategori wanita B-23. Dia terlepas podium dengan keciciran beberapa saat di belakang pemenang pingat gangsa, Molly Simpson dari Kanada.
“Yabuta pula menduduki tempat ketujuh keseluruhan kategori wanita B-23. Saya terbangkan pelumba terbaik Jepun kerana kami pandang serius ACC BMX 2022,” katanya.
Namun, Sampei mengakui dia sengaja tidak membariskan Asuma Nakai - pemenang pingat gangsa kategori B-23 lelaki bagi membolehkan Shimada mengukuhkan kutipan mata kelayakan Sukan Olimpik 2024.
Sampei bagaimanapun tetap berwaspada dengan kekuatan pesaing lain khususnya pelumba Korea Selatan, Thailand dan Indonesia kerana dia menghabiskan banyak masa merakam sesi latihan pagi dan petang tiga pasukan tersebut di Arena BMX Nasional.
“Apa sahaja boleh berlaku dalam sukan. Kadang kala kita pelumba favourite untuk menang pingat emas, namun satu kesilapan kecil boleh memusnahkan harapan pasukan Jepun pada ACC BMX 2022,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Jepun mengambil pendekatan berwaspada terhadap cuaca panas di Arena BMX Nasional yang melebihi 35 darjah selsius dengan hanya berlatih pada sesi pagi pada sesi latihan terakhir hari ini.
“Anda boleh lihat cuaca yang sangat panas. Saya sendiri terasa sangat panas. Memang benar Tokyo sangat panas ketika ini tetapi cuaca lebih panas di sini berbanding di Tokyo.
"Jadi untuk sesi latihan esok, kami hanya berlatih pada waktu pagi sahaja,” jelasnya.
Sejumlah lapan negara iaitu Jepun, Korea Selatan, India, Hong Kong, Thailand, Indonesia, Singapura dan Malaysia menyertai ACC BMX 2022 yang menjadi kejohanan benua pertama menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik 2024 Paris.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!