Isu batal ceramah: Kerajaan Terengganu perlu profesional
KUALA TERENGGANU – Pemuda Amanah Terengganu meminta kerajaan negeri lebih profesional susulan dakwaan seorang aktivis, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh bahawa ceramahnya di Masjid Bukit Besar di sini, dibatalkan kerajaan negeri.
Pengarah Komunikasinya, Muammar Qaddafi Mohd Nasir berkata, pihaknya kesal atas perkara itu dan memohon kerajaan negeri untuk bersikap lebih profesional.
“Prof Madya Dr Mohd Afandi adalah ahli akademik yang mempunyai pengkhususan dalam Politik Antarabangsa terutama dalam topik ‘Lobi Zionis Israel Dalam Polisi Amerika Syarikat’.
“Beliau juga telah empat kali menjejaki kaki ke Gaza, Palestin untuk misi kemanusiaan dan pernah menjadi tahanan tentera Israel. Adakah beliau tidak cukup layak untuk mengupas persoalan konflik Palestin-Israel di Terengganu,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Justeru, katanya, pihaknya berharap supaya perkara itu mendapat perhatian sewajarnya dan Kerajaan Terengganu lebih profesional dalam menguruskan perbezaan politik.
“Pemuda Amanah Terengganu akan terus memastikan agar kebebasan melontarkan idea dalam ruang demokrasi antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berjalan dengan baik,” katanya.
Terdahulu, Prof Madya Dr Mohd Afandi yang merupakan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) meluahkan rasa kesal menerusi laman sosial Facebooknya susulan tindakan kerajaan negeri membatalkan ceramahnya sempena program Sejuta Doa Buat al-Aqsa yang dijadualkan berlangsung hari ini.
Katanya, berita itu diterima menerusi satu panggilan oleh seorang pegawai agama yang memaklumkan kepadanya mengenai perkara tersebut dan mendakwa berlakunya campur tangan politik di negeri ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Dr Afandi kesal Kerajaan Terengganu batal ceramah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!